PENINGKATAN kes secara mendadak telah membuatkan sebanyak sembilan lokaliti dalam Bandar Darulaman dan Lubuk Kawah, Jitra, Kedah dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) selama dua minggu.
Pada masa sama, satu lagi lokaliti di Ulu Lepar, mukim Gali, Raub, Pahang turut diletakkan di bawah PKPD untuk tempoh sama berkuat kuasa 18 sehingga 31 Mei depan.
Mengulas mengenai PKPD di Jitra, Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sembilan lokaliti dalam Bandar Darulaman dan Lubuk Kawah itu melibatkan Taman Mahsuri 2A, Taman Mahsuri 2B, Taman Mahsuri 2C dan Pusat Perniagaan Bandar Barat.
Selain itu, kata Ismail Sabri, PKPD itu turut melibatkan Kampung Paya Kerchut, Taman Tunku Anum, Kampung Lubuk Kawah, Taman Desa Tanjung dan Taman Desa Darul Aman mukim Naga.
Jelas beliau, sehingga kini Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah melakukan 207 ujian saringan di semua lokaliti tersebut dengan 94 daripadanya disahkan positif COVID-19.
Baca artikel berkaitan: 54 diuji, 35 positif, Kg Paya Teh Jerantut dikena PKPD
Ismail Sabri berkata, KKM juga melaporkan berlaku peningkatan kes secara mendadak serta kadar kebolehjangkitan yang tinggi di lokaliti berkenaan.
“Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan atas nasihat KKM, kerajaan bersetuju melaksanakan PKPD di Bandar Darulaman dan Lubuk Kawah.
“Pelaksanaan PKPD ini untuk membolehkan KKM melakukan ujian saringan secara bersasar kepada golongan berisiko tinggi yang berpotensi menyebabkan jangkitan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, mengulas mengenai PKPD di Ulu Lepar, Raub, Ismail Sabri berkata, sebanyak lapan kes positif COVID-19 telah direkodkan di lokaliti berkenaan.
KKM juga, kata beliau, mendapati berlaku peningkatan ketara kes positif COVID-19 dalam tempoh seminggu serta kadar kebolehjangkitan yang tinggi di lokaliti tersebut.
“Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, kerajaan bersetuju melaksanakan PKPD di Ulu Lepar, mukim Gali, Raub, Pahang berkuat kuasa 18 Mei sehingga 31 Mei 2021.
“Pelaksanaan PKPD ini adalah untuk memudahkan KKM menjalankan pengesanan awal kes COVID-19 supaya dapat diasingkan secepat mungkin serta menyekat penularan jangkitan ke kawasan luar,” jelas beliau.
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

