pinang
Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow

KETUA Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow hari ini memohon maaf susulan kontroversi yang timbul berikutan tawaran dua juta dos vaksin Covid-19 didakwa diterima negeri itu sebelum ini yang disahkan sebagai satu penipuan atau ‘scam’ .

Beliau berkata, memandangkan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin telah mendakwa sumbangan itu adalah ‘scam’ dan laporan polis telah dibuat, kerajaan negeri berjanji akan memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa berhubung urusan siasatan kelak.

“Saya mengambil kesempatan ini memohon maaf kerana tercetusnya kontroversi ini, dan berharap kita akan meneruskan segala usaha dalam menghadapi cabaran pandemik COVID-19 seterusnya demi kebaikan seluruh rakyat di negara ini, ” katanya.

Dalam satu kenyataan akhbar yang disiarkan di media sosialnya hari ini, Kon Yeow berkata, isu sebenar adalah proses perolehan bekalan vaksin untuk rakyat Pulau Pinang.

BERITA BERKAITAN Negeri dibenar jalankan inisiatif beli vaksin sendiri

“Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK) Pulau Pinang yang bersidang pada 19 Mei 2021 telah berbincang mengenai kontroversi itu dan memutuskan untuk memberi tumpuan terhadap pendekatan terbaik dalam memperoleh bekalan vaksin dalam tempoh masa terdekat sebagai memenuhi permintaan rakyat negeri untuk menerima vaksin dengan kadar segera,” katanya.

Justeru, MMK telah memutuskan menggunakan dana Kerajaan Negeri bagi membeli vaksin tambahan untuk dihantar segera selain yang bakal dibekalkan oleh Kerajaan Persekutuan demi kepentingan serta kegunaan rakyat negeri Pulau Pinang.

“Bagi tujuan tersebut, saya telah menghantar surat kepada Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi hari ini untuk mendapatkan kebenaran pembelian vaksin secara terus oleh Kerajaan Negeri daripada syarikat pembekal yang diluluskan oleh Kerajaan Persekutuan dalam negara ataupun secara langsung daripada syarikat pengeluar vaksin,” tambahnya.

Katanya, beliau berharap Kerajaan Persekutuan akan memberi maklum balas positif terhadap permohonan berkaitan.

“Kerajaan Negeri dengan ini mengulangi komitmen untuk mengetepikan perbezaan politik bagi menjayakan kempen melawan pandemik COVID-19 termasuk pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK),” katanya.

Kontroversi mengenai isu derma vaksin tersebut timbul selepas Kerajaan Pulau Pinang mendakwa telah mendapat pihak yang sanggup menyumbang sebanyak dua juta dos vaksin untuk kegunaan rakyatnya secara percuma,

Bagaimanapun, Khairy kemudiannya mengarahkan pegawainya menghubungi individu yang dikatakan mahu menderma vaksin tersebut dan mendapati tiada sebarang tawaran dibuat.

Khairy berkata siasatan ke atas tawaran itu tidak temui sebarang keterangan yang membuktikan kewujudan syarikat berkenaan, mahupun penulis surat tawaran itu, yang memperkenalkan dirinya sebagai pengarah urusan syarikat berkenaan.

Pemeriksaan rekod syarikat di Hong Kong mendapati syarikat berkenaan tidak wujud, malah tiada sesiapa pun mengenali penulis surat itu, yang dikatakan menetap di Kota Kinabalu.

Dalam pada itu, Kon Yeow pula mengambil sikap mencari salah syarikat tersebut selepas pendedahan Khairy berkenaan dengan meminta pengarah syarikat itu tampil memberi penjelasan dan menunjukkan bukti bagi membersihkan nama mereka.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram