PADA pertengahan April lalu, tular di media sosial kononnya sembilan pelajar di sebuah sekolah di Perlis disahkan positif COVID-19.
Keadaan itu menimbulkan panik dalam kalangan ibu bapa hingga memaksa Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perlis membuat laporan polis 20 April lalu.
Hari ini, pelaku dibawa ke muka pengadilan atas kesalahan yang dilakukannya menerusi aplikasi WhatsApp itu.
Tertuduh, Norjannah Rusli, 28, didakwa menyebarkan berita palsu berhubung wabak itu dengan niat untuk menyebabkan ketakutan dan kebimbangan kepada orang awam.
Ibu kepada dua anak itu melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Jalan Pauh, Kampung Belukar, Arau, pada 10.31 pagi 18 April lepas.
Norjannah yang mengaku salah didenda RM5,000 atau penjara lima bulan oleh Mahkamah Sesyen Kangar selepas mengaku bersalah.
Pertuduhan dilakukan mengikut Seksyen 4(1) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) (No.2) 2021 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM100,000 atau boleh dihukum penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya.
Hakim Musyiri Peet menasihati wanita itu agar lebih bertanggungjawab ketika pandemik COVID-19 melanda negara.
Pendakwaan dikendalikan Pengarah Pendakwaan Negeri (PPN) Perlis Mohd Nordin Ismail manakala tertuduh diwakili peguam Zuhair Ahmad Zakuan yang dibantu peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) Siti Hajar Che Ahmad.
Zuhair yang mewakili tertuduh meminta mahkamah meringankan hukuman tertuduh disebabkan tertuduh sedang mengandung 28 minggu.
Selain itu tertuduh juga mempunyai dua orang anak berusia empat dan lima tahun serta suami yang baru kehilangan kerja sebagai pemandu lori disebabkan penularan COVID-19.
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

