Tun Mahathir cadang laksana Mageran ambil alih pentadbiran negara, tawar diri jika diperlukan

0
159
mahathir

TUN Dr. Mahathir Mohamad berkata beliau telah mengemukakan cadangan kepada Yang di-Pertuan Agong agar Malaysia melaksanakan Majlis Gerakan Negara (Mageran) bagi menyelesaikan beberapa masalah yang berlaku di dalam negara ketika ini dengan menawarkan dirinya menganggotai majlis tersebut.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, cadangan penubuhan majlis yang mempunyai kuasa penuh pentadbiran kerajaan itu dikemukakan ketika sesi menghadap Sultan Al-Abdullah Sultan Ahmad Shah hari ini.

Beliau bagaimanapun tidak menjangkakan Tan Sri Muhyiddin Yassin akan melaksanakan cadagan penubuhan majlis yang pernah dilaksanakan pada 1969 tersebut kerana Perdana Menteri menganggap kerajaan sekarang tidak mempunyai masalah.

“Baru-baru ini, Ketua Setiausaha Sulit Perdana Menteri, Datuk Dr. Marzuki Mohamad dalam satu video berkata Mageran tidak diperlukan kerana dengan keadaan ekonomi, sosial dan kawalan COVID-19 di negara ini dalam keadaan baik,” katanya dalam sidang akhbar secara maya hari ini.

Hari ini, Tun Mahathir merupakan antara beberapa pemimpin parti politik yang dipanggil untuk mengadakan sesi menghadap dengan Yang Di-Pertuan Agong di Istana Negara bagi membincangkan pelbagai isu dalaman negara.

“Melalui Mageran, kita yakin dapat membantu kerajaan dalam bidang ekonomi dan sosial, terutama usaha mengawal penularan COVID-19 yang semakin meningkat dan menyebabkan banyak kematian,” katanya.

Mageran ditubuhkan pada 15 Mei 1969, dua hari selepas pengisytiharan darurat dan Timbalan Perdana Menteri ketika itu, Tun Abdul Razak Hussein diberi tanggungjawab sebagai pengarah dengan mempunyai kuasa eksekutif penuh tanpa penyertaan Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman.

Ketika ditanya adakah Yang di-Pertuan Agong menerima cadangan itu, Mahathir berkata, Sultan Abdullah tidak menolak atau membantah cadangan berkenaan.

“Agong tak reject (tolak), dia tak kata tidak,” katanya.

Mahathir menjelaskan, Pejuang mencadangkan Mageran sebagai penyelesaian kepada krisis ketika ini kerana ia terbukti berkesan dalam menangani permasalahan politik ketika 1969.

“Mageran ang diketuai Tun Razak berjaya tangani masalah politik yang meruncing ketika itu dengan menjemput parti lawan menyertai kerajaan.

“Ketika itu, dasar ekonomi baharu ditubuhkan Tun Razak berjaya stabilkan politik dalam negara malah terus memerintah dengan majoriti lebih kuat. Saya rasa kali ini, kita juga boleh lakukan,” katanya.