Dr Noor Hisham Abdullah

SEPERTI mana kes baharu, jumlah kematian akibat COVID-19 hari juga mencatatkan pertambahan berbanding semalam.

Jika semalam 73 korban dilaporkan, hari ini jumlah kematian meningkat kepada 84 kes.

Ini menjadikan kumulatif kematian akibat wabak itu berjumlah 3,768 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada 84 kematian hari ini, sebanyak 19 dilaporkan di Selangor, 12 di Sarawak dan lapan di Labuan.

Turut dilaporkan, katanya, masing-masing tujuh kes di Johor dan Kuala Lumpur, sembilan kes di Negeri Sembilan, masing-masing enam kes di Pahang dan Sabah serta tiga kes di Terengganu.

“Dua lagi kes di Melaka, serta masing-masing satu kes di Kelantan, Perak, Pulau Pinang, Perlis dan Kedah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kes kematian hari ini turut melibatkan pelbagai peringkat umur termasuk dua orang pesakit berusia 20-an.

Pertama, seorang lelaki berusia 27 tahun yang meninggal dunia di Hospital Labuan.

Kedua, seorang wanita berusia 28 tahun yang mana jenazahnya dibawa ke Hospital Kajang.

Kedua-duanya tidak dinyatakan mempunyai latar belakang penyakit.

Baca artikel berkaitan: Kes masih tinggi, PKP 3.0 disambung dua minggu

6,849 kes baharu, tertinggi dalam tempoh 6 hari

Dalam masa masa, kata Noor Hisham, sebanyak 7,749 kes sembuh dilaporkan hari ini – sekali mengatasi jumlah kes baharu.

Kes sembuh yang dilaporkan hari ini juga tertinggi yang pernah dilaporkan setakat ini.

Perkembangan ini membolehkan kes aktif turun kepada 78,864.

“Sebanyak 912 kes ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) manakala 458 memerlukan alat bantuan pernafasan,” jelasnya.

Sementara itu, ujar Noor Hisham, sebanyak 16 lagi kluster dilaporkan dengan 12 daripadanya adalah tempat kerja.

Katanya, tiga lagi adalah kluster komuniti dan bakinya kumpulan berisiko tinggi.

Selangor sahaja melaporkan lima kluster tempat kerja diikuti Johor (empat) dan Sarawak, tiga.

Bagi kluster klomuniti, masing-masing satu dilaporkan di Sabah, Kuala Lumpur dan Kelantan manakala kumpulan berisiko tinggi dilaporkan di Johor.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram