PERINTAH Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 penuh yang sedang dilaksanakan ketika ini dilanjutkan lagi untuk tempoh dua minggu.
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, PKP 3.0 yang bermula sejak 12 Mei lalu dan diperketatkan pada awal bulan ini disambung berkuat kuasa Selasa depan sehingga 28 Jun.
Beliau berkata, keputusan tersebut dilakukan setelah mengambil kira jumlah kes harian masih tinggi melebihi 5,000 sehari dengan purata kes baharu sehingga semalam ialah 6,871.
Katanya, senarai positif dan negatif serta prosedur operasi standard (SOP) bagi setiap aktiviti perkilangan, perniagaan dan industri masih kekal seperti mana diumumkan sebelum ini.
“Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah membentang dan mencadangkan dalam Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang dipengerusikan Perdana Menteri hari ini supaya PKP 3.0 dilanjutkan untuk tempoh dua minggu lagi.
Baca artikel berkaitan: Total lockdown selama 14 harı mulai 1 Jun, pakej bantuan menyusul
17 perkhidmatan perlu dibenarkan beroperasi mulai 1 Jun
“Memandangkan semua senarai positif dan negatif serta SOP adalah sama, maka saya berharap tiada lagi kekeliruan dalam pelaksanaan penguatkuasaan SOP.
“Saya tidak mahu rakyat terkesan dengan salah tafsiran berhubung SOP di lapangan oleh penguatkuasa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sidang Khas MKN mengenai pengurusan COVID-19 bulan lalu telah membuat keputusan melaksanakan PKP 3.0 seluruh negara mulai 12 Mei hingga 7 Jun.
Bagaimanapun, peningkatan kes COVID-19 seluruh negara telah memaksa kerajaan mengetatkan lagi dengan pelaksanaan PKP penuh atau total lockdown fasa pertama mulai 1 Jun hingga 14 Jun ini.
Hanya 17 jenis perkhidmatan perlu dan 12 sektor perkilangan dibenarkan beroperasi sebaik sahaja PKP penuh dikuatkuasakan sejak awal bulan ini.
Sektor perkhidmatan yang dibenarkan beroperasi itu termasuk makanan dan minuman; penjagaan kesihatan dan perubatan; sektor perkhidmatan merangkumi keselamatan, pertahanan, kecemasan, kebajikan dan bantuan kemanusiaan.
Pada masa sama, perkhidmatan pengurusan sisa pepejal; pengangkutan; perkhidmatan dan pengusahaan pelabuhan; komunikasi serta perbankan, insuran, takaful dan pasaran modal turut dibenarkan beroperasi.
Perkhidmatan lain yang dibenarkan adalah kredit komuniti; e-dagang dan teknologi maklumat; pengeluaran, penyulingan, penyimpanan, pembekalan serta pengagihan bahan api dan pelincir.
Hotel dan penginapan juga dibenarkan tetapi hanya bagi tujuan kuarantin, pengasingan, pekerjaan bagi perkhidmatan perlu dan bukan bagi tujuan pelancongan.
Perkhidmatan seterusnya termasuk pembinaan, penyelenggaraan dan pembaikan kritikal; perkhidmatan perhutanan yang terhad kepada penguatkuasaan dan logistik yang terhad kepada penyampaian perkhidmatan perlu.
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

