SEORANG kanak-kanak Palestin berusia 15 tahun mati ditembak tentera pengganas Israel dalam satu kejadian di Kampung Beita, selatan Nablus di Tebing Barat yang dijajah Israel, semalam.
Agensi berita Palestin WAFA melaporkan, Mohamamd Saeed Hamayel ketika kejadian sedang bersama penduduk Palestin lain menyertai satu demonstrasi membantah penempatan haram Yahudi berhampiran kampung itu.
Menurut Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin (PRC), askar pengganas Zionis kemudiannya melepaskan tembakan ke arah kumpulan penunjuk perasaan yang mengakibatkan kematian Saeed dan mencederakan beberapa yang lain.
Penunjuk perasaan lain turut mengalami sesak nafas setelah askar pengganas melempar gas pemedih mata ke arah mereka.
Saeed merupakan penduduk ketiga dari Kampung Beita terbunuh akibat ditembak tentera pengganas Israel dalam tempoh kurang sebulan.
Penduduk Beita sejak kebelakangan ini kerap mengadakan tunjuk perasaan setiap hari Jumaat bagi membantah tindakan peneroka haram Yahudi merampas tanah mereka di Bukit Sabih dengan membina penempatan haram baharu.
Tindakan peneroka haram Yahudi itu sekali gus mengancam kehidupan 17 keluarga Palestin yang bergantung hidup kepada tanaman pokok zaitun di kawasan berkenaan sejak beberapa generasi lalu.
Penduduk kampung Palestin di Tebing Barat kerap mengadakan tunjuk perasaan pada setiap Jumaat membantah tindakan Israel merampas tanah, memusnahkan kediaman dan penempatan haram dianggap bertentangan dengan undang-undang antarabangsa.
Askar pengganas Israel bagaimanapun kerap bertindak balas secara kejam terhadap kumpulan penunjuk perasaan Palestin.
Kira-kira 475,000 peneroka haram Yahudi tinggal di Tebing Barat yang dijajah Israel, tindakan yang mencabuli undang-undang antarabangsa.

