JUMLAH pemberian vaksin COVID-19 setakat semalam terus meningkat kepada 4.227 juta dos di seluruh negara.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 2.929 juta dos diberikan untuk suntikan pertama.
Kata beliau, bagi pemberian dos kedua pula, jumlahnya kini sebanyak 1.297 juta.

“Semalam menyaksikan 124,618 dos vaksin diberikan. Seramai 94,558 menerima vaksin untuk dos pertama,” katanya menerusi satu hantaran di Twitter beliau.
Dr Adham turut menyeru orang ramai yang belum mendaftar untuk mendapatkan vaksin supaya segera mendaftar sama ada di aplikasi MySejahtera, http://vaksincovid.gov.my atau telefon 1800888828.
Berdasarkan infografik yang dikongsikan beliau, Kuala Lumpur merupakan penerima tertinggi bagi suntikan dos pertama dengan sebanyak 505,498.
Ini diikuti Selangor (438,103), Sarawak (276,166), Johor (271,268), Perak (227,120) dan Sabah (224,164).

Baca artikel berkaitan: Pemberian vaksin harian tinggi, bukti PICK berjalan baik – PM
Sementara itu, untuk suntikan dos kedua, Selangor mencatatkan jumlah tertinggi dengan 170,855.
Ini diikuti Sarawak (133,516), Kuala Lumpur (122,564), Perak (121,740) dan Johor (118,317).
Dalam pada itu, menerusi media sosial Jawatankuasa Khas Akses Jaminan Bekalan Vaksin COVID-19 semalam, jumlah pendafataran vaksin kini sudah melepasi angka 13 juta.

Walaupun jumlah tersebut meningkat setiap hari, namun masih terdapat kira-kira 44 peratus yang belum berbuat demikian.
Daripada 13.04 juta yang berdaftar setakat 10 Jun, Selangor mencatatkan pendaftaran tertinggi dengan 3.366 juta diikuti Johor (1.62 juta) dan Sarawak (1.27 juta).
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

