Buka Parlimen, tamat Darurat gagal bayangi ghairah rakyat tunggu vaksin

Dari Penulis

Oleh CHE MAN CHE WIL 

Apabila Yang di-Pertuan Agong memanggil semua ketua-ketua parti politik menghadap baru-baru ini, seperti biasa orang yang paling bersorak riang ialah para penyokong parti Pakatan Harapan (PH). Dalam kepala mereka tidak ada benda lain yang terbayang kecuali Datuk Seri Anwar Ibrahim akan dilantik sebagai Perdana Menteri. 

Pada awal pagi hari yang sama ketika Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menghadap Agong pun pelbagai spekulasi mula tersebar. Kononnya kepemimpinan negara akan bertukar , sedangkan itu merupakan rutin menghadap biasa setiap Rabu sebelum mempengerusikan mesyuarat Kabinet.

Walaupun tidak diketahui apa butir pertemuan antara pemimpin parti politik dengan Seri Paduka tetapi berdasarkan apa yang keluar daripada mulut beberapa pemimpin yang dipanggil, topik perbincangan lebih berkisar kepada keadaan semasa pandemik Covid-19 yang masih belum reda-reda. 

Ketika Yang di-Pertuan Agong menzahirkan rasa prihatin yang amat   dengan situasi semasa pandemik negara, parti-parti pembangkang masih dengan angan-angan politik yang tidak berkesudahan.

Apa sahaja yang ada kaitan dengan Covid-19 dipolitikkan bermula dengan angka jangkitan, petugas barisan hadapan atau frontliners, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), program vaksinasi, kadar inokulasi dan apa sahajalah.

Di sebalik hingar-bingar dan bingit suara pembangkang , segala usaha kerajaan bagi memastikan negara bebas daripada ancaman pandemik ini terus rancak berjalan tanpa menoleh ke belakang lagi. Matlamatnya ialah untuk melandaikan lengkung jangkitan seterusnya mengembalikan negara ini menjadi zon hijau.

Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) yang bermula Februari lalu sudah memasuki Fasa Kedua melibatkan golongan orang tua atau warga emas. Di mana-mana sahaja rakyat bercakap tentang program vaksinasi ini. 

Kalau dulu, kerja-kerja memujuk orang ramai mendaftar dalam MySejahtera bagi mempercepatkan pemberian vaksin punyalah sedikit payah, sekarang orang ramai mengamuk-ngamuk apabila lambat dipanggil untuk divaksin! 

Jumlah pemberian vaksin sudah meningkat kepada 4.4 juta dos di seluruh negara setakat semalam dengan 3.1juta dos diberikan untuk suntikan pertama manakala 1.3 juta untuk dos kedua. Semalam juga sejumlah 128,912 dos vaksin diberikan dengan 102,208 menerima dos pertama. 

Perkembangan ini secara jelas membuktikan kerja keras kerajaan Perikatan Nasional (PN) bagi mengembalikan hidup dan kehidupan rakyat serta ekonomi negara berjalan mengikut perancangan dan landasan yang betul.

Usaha membebaskan negara ini daripada pandemik Covid-19 turut mendapat sokongan rakyat melihat kepada sambutan hangat ke atas PICK dan pematuhan kepada SOP sepanjang Sekatan Pergerakan Penuh (SPP) yang sedang dikuatkuasakan sekarang.

Rakyat lebih memikirkan tentang keselamatan, kesihatan dan masa depan kehidupan mereka berbanding ahli-ahli politik Pakatan Harapan (PH) dan segelintir daripada Barisan Nasional (BN) yang tidak habis-habis berpolitik dengan menjadikan isu penamatan Darurat , pembukaan Parlimen dan Pilihan Raya Umum (PRU) sebagai modal. Kedua-dua isu ini ternyata  gagal membayangi dan menenggelamkan keghairahan orang ramai menunggu suntikan vaksin.

Rakyat faham tanpa pelaksanaan Darurat kesihatan tidak banyak yang boleh kerajaan terutama Kementerian Kesihatan lakukan untuk mengekang penularan wabak ini. Sementelah lagi dengan perangai segelintir ahli-ahli politik cukup rajin mengkritik dan mengecam kerajaan dalam media sosial tetapi teramat malas untuk turun padang bagi membantu rakyat dalam waktu-waktu sukar seperti ini.  

Ahli-ahli politik tersebut adalah daripada kumpulan yang hilang kuasa, gila kuasa, yang gila mahu mendapat kuasa, yang gila mahu kembali mendapat kuasa setelah kehilangan kuasa, yang sedang berhadapan dengan kes rasuah dan penyalahgunaan kuasa di mahkamah.

Percayalah ketika ini, rakyat lebih cakna dengan peningkatan kes jangkitan serta pertambahan kes kematian setiap hari daripada memikirkan soal-soal politik yang jelas tidak memberi faedah langsung kepada mereka ketika ini.

  • Penulis adalah penganalisis politik


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Berkaitan

UMNO-BN Negeri Sembilan sedia letak calon di semua 36 kerusi DUN

UMNO-Barisan Nasional (BN) Negeri Sembilan bersedia untuk meletakkan calon di semua 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang akan...

More Articles Like This