RAMAI ramai yang masih tertanya-tanya mengenai kedudukan Ustaz Ebit Liew yang berusaha untuk menyampaikan bantuan kepada penduduk Palestin. Adakah dia telah sampai ke Gaza dan dalam keadaan baik?
Seperti yang dinyatakan Wisma Putra baru-baru ini, pendakwah itu dan delegasinya berada dalam keadaan baik dan dipercayai masih berusaha meneruskan misi bantuan kemanusiaannya.
Hari ini Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia (CGM) Nadir Al Nuri Kamarulzaman mengesahkan rombongan Ebit Lew masih belum dapat memasuki Semenanjung Gaza untuk menyampaikan bantuan.
Bagaimanapun, Nadir yang dihubungi Harian Metro tidak mengulas lanjut apakah masalah yang dihadapi oleh pendakwah tersebut dalam usahanya untuk masuk ke Gaza.
Ebit Lew dilaporkan berlepas ke Mesir untuk menjayakan misi bantuan kemanusiaan untuk disampaikan kepada rakyat Palestin yang terjejas akibat serangan Israel pada 25 Mei lalu.
Sementara itu, Nadir berkata, bandar Gaza kini masih menunggu pembangunan semula kerana terdapat infrastruktur di bandar itu belum dibaiki.
BERITA BERKAITAN Ebit Lew muatnaik status terbaharu, tamatkan kerisauan pengikutnya
Menurutnya, pihaknya sudah mengadakan pertemuan dengan semua kementerian yang terbabit bagi memulakan kerja baik pulih.
“Terdapat infrastruktur yang masih belum dibaiki dan kini dalam proses menunggu untuk pembangunan semula.
“Pihak CGM tidak menunggu sesiapa untuk menjalankan kerja, kami boleh meneruskan kerja (baik-pulih),” katanya.
Awal pagi hari ini, Israel melancarkan serangan udara di Semenanjung Gaza dengan mendakwa ia sebagai tindak balas terhadap tindakan pejuang wilayah itu menghantar belon api ke selatan Israel.
Tentera Udara Israel menyasarkan sekurang-kurangnya satu lokasi di timur bandar Gaza iaitu selatan Khan Younes.
Al Jazeera melaporkan, tentera Israel dalam satu kenyataan berkata, mereka menyerang kedudukan Hamas dan bersedia terhadap sebarang keadaan termasuk memperbaharui semula peperangan berikutan tindakan keganasan berterusan yang bermula dari Gaza.
Ia adalah serangan terbaharu rejim Zionis di Semenanjung Gaza sejak Israel dan pejuang Hamas bersetuju untuk gencatan senjata pada 21 Mei lalu susulan serangan 11 hari tentera Israel di wilayah berkenaan yang menyaksikan lebih 260 penduduk Palestin terbunuh.
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

