PEMAIN sudah berusaha bermatian, itu kata Ketua Jurulatih Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe mengulas perlawanan menentang Thailand yang memihak kepada anak buahnya 1-0.
Dalam masa yang sama, Cheng Hoe percaya yang pemainnya dapat pengalaman berguna dan belajar berikutan kegagalan mereka untuk layak ke Piala Dunia 2022.
Namun bekas jurulatih Kedah itu berazam untuk kembali dengan lebih kuat, bagi menghadapi cabaran pusingan selanjutnya kelayakan Piala Asia 2023.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas perlawanan di Dubai seperti yang dikongsikan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) hari ini.
Mengulas perlawanan menentang skuad Gajah Perang itu, Cheng Hoe gembira atas kerja keras dalam aksi terakhir kempen kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Dubai, pada Selasa Malam (awal pagi Rabu di Malaysia).
Beliau memuji prestasi baik dan komitmen pemainnya atas kejayaan mendapat tiga mata sekali gus memastikan pasukan negara mendapat tempat dalam pusingan ketiga Kelayakan Piala Asia 2023.
“Ia tentunya satu perlawanan yang sukar untuk kami, pemain berusaha bermatian bagi mengelakkan Thailand menjaringkan gol sehingga ke saat pengadil meniupkan wisel (penamat),” katanya.

Walaupun menang, jurulatih berusia 53 tahun itu agak kecewa kerana beberapa peluang yang terbuka, gagal disempurnakan pemainnya bagi mendapatkan permainan lebih selesa terhadap pasukan dibimbing Akira Nishino itu.
Kemenangan ini merupakan yang kedua bagi Cheng Hoe ke atas Thailand, dan menjadikan perlawanan tanpa kalah terhadap Gajah Perang kepada empat perlawanan, sejak mengambil alih tugasnya pada Disember 2017.
Sementara itu, Muhammad Safawi Rasid yang menjaringkan satu-satunya gol, menerusi sepakan penalti pada minit ke-52 amat gembira melihat usaha rakan sepasukannya dengan bermain sepenuh mati bagi memastikan Harimau Malaya mengaum semula, dan menghidupkan semula impian ke Piala Asia 2023.
Baca artikel berkaitan: Enggan komen pengadil, tapi Cheng Hoe kata detik itu ‘menyedihkan’
17 tahun dah rasa Euro, kita yang usia 23 pun dok kata muda lagi
Dalam satu lagi perlawanan Kumpulan G, Emiriah Arab Bersatu (UAE) menamatkan musim tanpa kalah Vietnam, selepas mereka menang ke atas pasukan itu 3-2 di Stadium Zabeel.
Malaysia menamatkan kempen kelayakan dalam Kumpulan G di tempat ketiga dengan 12 mata, dengan UAE teratas dengan 18 mata dan Vietnam kedua (17 mata).
Thaiand di tempat keempat dengan sembilan mata, manakala Indonesia yang hanya memperolehi satu mata, menduduki tempat tercorot.
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

