SEJAK akhir-akhir ini, masih banyak pihak terutama sektor perkilangan tidak kira bagi perkhidmatan perlu atau tidak telah didapati melanggar prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan.

Kedegilan mereka yang menjalankan operasi perkilangan tanpa mematuhi SOP telah membawa padah apabila dikenakan kompaun, malah ada juga telah diarahkan tutup serta-merta.

Kejadian sama berlaku dalam daerah Shah Alam apabila Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam menjalankan op Khas Pematuhan SOP COVID-19 melibatkan kilang-kilang di kawasan Sri Muda.

Hasil operasi selama lima hari sehingga semalam, sebanyak 15 kilang masing-masing telah dikenakan kompaun sebanyak RM10,000 kerana gagal mematuhi SOP Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Menurut Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib, operasi khas itu telah melakukan pemeriksaan dan pemantauan ke atas 333 kilang dalam kawasan tersebut.

Kata beliau, daripada 15 kilang yang telah dikenakan kompaun, tiga buah kilang telah beroperasi tanpa surat kebenaran Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

Baca artikel berkaitan: Lagi kilang degil, tak ikut SOP jumlah pekerja

Tiada kompromi! 63 kilang, premis perniagaan langgar SOP diarah tutup – Hamzah

Selain itu, beliau memaklumkan, empat lagi kilang telah beroperasi tidak mengikut arahan dalam surat kebenaran manakala tiga buah kilang melanggar syarat kapasiti 60 peratus pekerja yang dibenarkan.

“Terdapat lima buah kilang dikenakan kompaun kerana tidak menyediakan laluan masuk dan keluar khas untuk pekerja.

“Polis juga mengenakan kompaun sebanyak RM2,000 terhadap 22 pekerja kilang yang tidak mematuhi SOP dengan jumlah keseluruhan kompaun dikenakan dalam Op Khas ini adalah RM194,000.

“15 buah kilang yang telah dikenakan tindakan kompaun di bawah Akta Pencegahan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 itu mengendalikan operasi pembuatan cat, pengangkutan, penyimpanan barang kimia, bahan ganti telefon bimbit, kilang percetakan, kayu, elektronik dan besi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Baharudin turut memaklumkan IPD Shah Alam juga telah menerima beberapa aduan mengenai rumah ibadat selain Islam yang cuba mengadakan upacara sembahyang tanpa mengikut SOP Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

“Justeru, kepada semua masyarakat terutama warga Shah Alam, dalam mendepani pandemik COVID-19, kerjasama dan kepatuhan semua pihak amat penting dalam usaha kita bersama memutuskan rantaian wabak ini,” jelas beliau.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram