AMANAH Ikhtiar Malaysia (AIM) memberikan penangguhan bayaran balik pinjaman kepada 378,507 peminjamnya.
Pengerusi Eksekutif AIM, Datuk Seri Lajim Ukin berkata, penangguhan pinjaman untuk Sahabat AIM itu berkuat kuasa 1 Julai sehingga 31 Julai ini.
Katanya, langkah ini dibuat berikutan lanjutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 yang diumumkan kerajaan bagi memutuskan rantaian virus Covid -19.
“Dengan lanjutan sehingga 31 Julai ini, AIM sehingga hari ini telah memberi penangguhan bayaran balik pinjaman kepada Sahabat AIM selama lapan minggu bermula tarikh PKP 3.0 berkuat kuasa secara penuh pada 1 Jun 2021 lalu.
“Selain itu, semua Mesyuarat Pusat (MP), Perjumpaan Pusat Khas (PPK) dan Kutipan bagi Skim Pembiayaan Ikhtiar, Simpanan Tabung Kumpulan, Tabung Kebajikan dan Kesejahteraan Sahabat (TKKS) dan Tabung Khairat Hutang juga ditangguh sehingga 31 Julai 2021,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Menurut Lajim, AIM juga memutuskan untuk menangguhkan Pembentangan Permohonan bagi Skim Pembiayaan Ikhtiar, Pengeluaran Tabung Kumpulan, Tuntutan Tabung Khairat Hutang, Penjadulan Semula Pembiayaan dan juga pembentangan untuk Tangguh Bayar Ballik Pinjaman.
Walau bagaimanapun, katanya, Kutipan Balik bayaran SPI melalui kaedah bukan tunai (e-pay) adalah dibenarkan.
“Untuk rekod, AIM sebelum ini telah memberi penangguhan bayaran balik selama 16 minggu secara automatik kepada semua Sahabat ketika PKP 1.0 dilaksanakan.
“Ia kemudiannya diikuti dengan penangguhan bersasar sehingga Oktober 2020 yang membabitkan seramai 12,568 Sahabat. Dan untuk mereka yang layak dan benar-benar terkesan penangguhan masih lagi diteruskan sehingga ke hari ini,” jelasnya.
Baca artikel berkaitan: AIM bayar balik RM214.9 juta pinjaman kepada kerajaan
Selain itu, kata Lajim, AIM juga telah memperkenalkan lapan Pakej Rangsangan Ekonomi AIM serta menyediakan pelbagai inisiatif lain termasuk Penangguhan Tambahan PKPB, program kerjasama dengan beberapa agensi kerajaan, serta bengkel dan kursus keusahawanan digital untuk Sahabat.
Bagi memastikan kebajikan Sahabat dibela, beliau berkata, AIM juga memberi bantuan bekalan makanan asas yang telah memberi manfaat kepada 20,700 keluarga Sahabat menerusi Program Bakul Kasih AIM.
Katanya, AIM sesungguhnya amat prihatin dengan keperitan dan kesusahan yang dialami oleh Sahabat.
“Justeru banyak Program Pemasaran Produk Sahabat Secara Atas Talian sedang dilaksanakan bagi membantu Sahabat menjangkau pasaran yang lebih luas dan dapat berniaga tanpa melanggar SOP ditetapkan kerajaan.
“Semua pihak dan kakitangan juga sedang berusaha untuk membantu merangka pelan pemulihan pendapatan Sahabat supaya Sahabat dapat bangkit semula daripada situasi sukar sepanjang PKP dilaksanakan.
“Sahabat dinasihatkan sentiasa menjaga kesihatan serta patuh kepada SOP ditetapkan kerajaan supaya kita sama-sama dapat memutuskan Covid-19 ini dengan segera dan dapat kembali menjalankan perniagaan seperti biasa,” ujarnya.
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

