Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI)./ Gambar media sosial Bernama

MULAI hari ini, lebih banyak sektor sokongan kritikal dibenarkan beroperasi di lokaliti yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di negeri Selangor.

Menurut Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), ia meliputi sektor elektrik dan elektronik (E&E) dan rantaian bekalannya, sektor aeroangkasa, mesin dan peralatan (M&E) bagi pengeluaran produk kesihatan dan makanan serta syarikat pembuatan makanan dan minuman utama.

MITI bertindak segera untuk melaksanakan keputusan tersebut secepat mungkin dengan mengadakan perbincangan selanjutnya bersama Menteri Kewangan dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) selepas mesyuarat Kabinet hari ini.

“Keputusan ini dibuat berikutan peranan sektor-sektor ini yang penting dan signifikan dalam menyokong pengeluaran produk dalam rantaian bekalan global serta pengeluaran kritikal bagi sektor kesihatan dan makanan dan minuman di dalam negara,” kata MITI dalam kenyataan hari ini.

Baca artikel berkaitan: Kes baru bertambah, sistem kesihatan di 4 negeri mungkin lumpuh – KP Kesihatan

7,097 kes baharu, Selangor, KL kekal empat angka

Kebenaran kepada sektor aeroangkasa diberikan bagi penyelenggaraan, pembaikan dan pemulihan.

Syarikat-syarikat dalam sektor berkenaan boleh memulakan semula operasi dengan menggunakan surat kelulusan COVID-19 Intelligent Management System (CIMS) 3.0 sedia ada yang mempunyai akronim ‘PKP 3.0’ dan bertarikh pada bulan Jun 2021 dan ke atas.

“Syarikat-syarikat diingatkan untuk mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Pengilangan dan Pembuatan PKPD Selangor semasa sepenuhnya.

“Ia merangkumi antaranya sektor dan aktiviti yang dibenarkan untuk beroperasi, dan keperluan mematuhi kapasiti operasi pada kadar 60 peratus bagi pekerja di premis dan 40 peratus lagi pekerja untuk melaksanakan amalan bekerja dari rumah,” kata kenyataan itu.

Melalui Proram Imunisasi Industri COVID-19 Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS), yang bermula 16 Jun 2021, MITI akan memastikan program vaksinasi dalam kalangan pekerja sektor pembuatan akan dipertingkat dan dipercepatkan untuk melindungi kesihatan pekerja dan menjamin kelangsungan ekonomi negara.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram