SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang pegawai polis berpangkat Asisten Superintendan (ASP) semalam bagi membantu siasatan dakwaan meminta suapan sebanyak RM200,000 daripada pasangan pengedar dadah.

Menurut sumber, lelaki berusia 48 tahun itu ditahan selepas memberi keterangan di Pejabat SPRM Kelantan di sini pada jam 10 pagi semalam.

SPRM mendapatkan perintah reman selama empat hari terhadap pegawai itu yang dikeluarkan oleh Majistret Rozaidi Yaacob di Mahkamah Majistret Kota Bharu 2, hari ini.

Pengarah SPRM Kelantan Rosli Husain ketika dihubungi Bernama mengesahkan penahanan tersebut dan berkata suspek dipercayai meminta suapan itu tiga bulan lepas untuk melepaskan kes berkaitan dadah.

BERITA BERKAITAN Pegawai dituduh rasuah, SPRM tegaskan tiada kompromi

“Pegawai polis itu dikatakan telah diberi wang sebanyak RM100,000 baru-baru ini. SPRM masih menjalankan siasatan dan tidak menolak kemungkinan ada beberapa lagi individu terbabit,” katanya.

Menurutnya, tangkapan itu membabitkan nilai terbesar dikesan SPRM Kelantan setakat tahun ini.

Rosli berkata kes disiasat di bawah Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009. – UtusanTV

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram