SARAWAK menjadi negeri kelapan yang bakal beralih daripada Fasa 1 ke Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN) berkuat kuasa Rabu ini.
Ia sekali gus menjadikan Sarawak sebagai negeri terbaharu melangkah ke Fasa 2 PPN selepas Perlis, Perak, Kelantan, Terengganu, Pahang, Pulau Pinang dan Sabah.
Sebagai rekod, kes jangkitan baharu COVID-19 di Sarawak mencecah 235 penularan berbanding 270 semalam.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) telah menampakkan impak positif di beberapa negeri lain.
Kata beliau, Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang dipengerusikan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini telah meneliti pembentangan peralihan fasa.
Beliau berkata, ia bagi negeri-negeri di bawah PPN oleh Kementerian Kewangan Malaysia.
Baca artikel berkaitan: Sabah beralih ke Fasa 2 PPN mulai Sabtu – Ismail Sabri
“Setelah semua agensi terlibat termasuk Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) meneliti nilai-nilai ambang negeri ini, Sidang Khas MKN bersetuju untuk membuat peralihan fasa bagi negeri Sarawak daripada Fasa 1 ke Fasa 2 berdasarkan pencapaian nilai ambang tiga indikator utama yang telah ditetapkan.
“Peralihan Fasa PPN bagi negeri Sarawak akan berkuat kuasa mulai 14 Julai 2021.
“Maklumat lanjut mengenai semua kebenaran yang telah ditetapkan bagi Fasa 2 boleh dirujuk di laman sesawang MKN di www.mkn.gov.my,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, Ismail Sabri turut mengumumkan telah memberi kebenaran kepada pusat perkhidmatan pelanggan syarikat telekomunikasi untuk beroperasi.
Katanya, kebenaran beroperasi itu akan berkuat kuasa mulai esok.
“Sidang Khas MKN turut bersetuju untuk memberi kebenaran kepada semua outlet pusat perkhidmatan pelanggan syarikat telekomunikasi.
“Pusat perkhidmatan pelanggan syarikat telekomunikasi yang terletak di dalam pusat membeli-belah serta pasar raya besar untuk beroperasi sepanjang PPN,” jelas beliau.
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

