BUAT hari kedua berturut-turut, Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) berjaya melepasi angka 400,000 dos sehari.
Malah, apa yang dicatatkan semalam adalah rekod tertinggi setakat ini apabila 424,541 dos diberikan.
Ini mengatasi rekod yang dicatatkan pada Isnin iaitu 421,479 dos.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, jumlah pemberian vaksin COVID-19 sehingga 13 Julai 2021 ialah 12.21 juta dos.

“Sebanyak 424,541 dos diberikan pada 13 Julai, yang tertinggi setakat ini.
“Jumlah yang terima dos pertama ialah 8.36 juta orang. Daripada jumlah itu, 3.84 juta orang telah terima dos kedua,” katanya menerusi Twitter beliau hari ini.
Baca artikel berkaitan: Kurangkan kes dengan meningkatkan vaksinasi – KP Kesihatan
Sultan Selangor gesa tambah pemberian vaksin di Selangor
Berdasarkan infografik yang dikongsikan beliau, 35.7 peratus populasi dewasa Malaysia sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin COVID-19.
Jumlah yang lengkap menerima dua dos suntikan pula 16.4 peratus.

Tertinggi menerima satu dos suntikan ialah Sarawak, diikuti Labuan dan Lembah Klang (Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya).
Bagi lengkap dua dos, Labuan mencatatkan peratusan tertinggi diikuti Sarawak dan Perlis.
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

