SALAM sejahtera kepada seluruh warga MCW dan juga pencinta perjuangan antirasuah Malaysia.

Hari ini 24 Julai 2021, genap kali keempat sambutan ulang tahun penubuhan MCW. Saya bersama Barisan Kepimpinan Tertinggi dan Ahli Jawatankuasa (AJK) MCW bagi sesi 2020-2023 diberi kepercayaan dalam Mesyuarat Agung Tritahunan MCW pada 16 Ogos 2020 lalu untuk terus memimpin pergerakan antirasuah ini.

Kami berazam akan terus memacu organisasi ini ke arah pembentukan budaya integriti dan antirasuah bermula dari akar umbi masyarakat tanpa mengira usia, kaum dan agama.

Sempena sambutan Ulang Tahun Penubuhan MCW bagi tahun 2021 ini, saya ingin mengucapkan jutaaan terima kasih kepada pihak SPRM, GIACC, IIM, SIAP, PDRM dan media yang banyak memberikan sokongan untuk MCW terus relevan menjalankan gerak kerja pembanterasan rasuah dengan lebih berkesan.

Sehubungan itu, MCW akan mengganda usaha bagi memastikan generasi akan datang lebih berintegriti tinggi terutamanya bakal-bakal pemimpin dan jentera tenaga kerja penjana ekonomi negara bebas daripada unsur-unsur salah guna kuasa, penyelewengan dan jenayah rasuah.

  1. MCW akan terus memfokus kepada objektif penubuhan sebagai NGO yang membantu pembanterasan rasuah di Malaysia melalui perancangan yang jelas dan strategi khusus untuk menarik rakyat Malaysia bersama dalam perjuangan ini.
  2. MCW akan konsisten mendesak agar pelaksanaan Rang Undang-undang Pembiayaan Dana Politik disegerakan bagi memastikan ahli politik yang mentadbir negara ini bersih dan bebas daripada sebarang gejala rasuah dan salah guna kuasa.
  3. Kaedah pengambilan ahli MCW menerusi ‘by invitation only’ akan terus dikekalkan. Setakat ini MCW mempunyai seramai 367 ahli termasuk ahli kehormat atau jemputan dari luar negara sebagai persediaan bagi mencapai status antarabangsa pada masa hadapan. MCW berhasrat untuk mencapai 500 ahli (jumlah maksimum) yang disasarkan menjelang tahun 2022.
  4. MCW terlibat dalam melaksanakan 800 inisiatif dalam bentuk aktiviti dan program sepanjang 4 tahun ini (termasuk strategi pendidikan antirasuah, mesej pencegahan rasuah, pelaporan kes & program-program antarabangsa). Inisiatif tersebut dimanfaat kepada semua ahli dan juga masyarakat awam menerusi pelbagai medium termasuk media sosial (Facebook), laman sesawang www.corruptionwatch.my , Buletin Tribulanan Aktiviti & Program MCW dan Buku Laporan Korporat Dwitahunan MCW.
  5. Kerjasama erat bersama media arus perdana akan diperkukuhkan melalui respons media dan kenyataan yang lebih mantap dan berimpak tinggi pada masa hadapan.
  6. Pengikut FB – Malaysia Corruption Watch hampir mencecah 5,000 orang manakala 2,000 individu menerima mesej ‘personal WhatsApp’ berita dan hebahan info antirasuah MCW setiap hari. Jumlah lawatan melebihi 500,000 kali ke laman sesawang MCW juga adalah satu pencapaian yang akan dipertingkatkan lagi.
  7. Penganjuran program-program ilmu secara mingguan yang konsisten untuk memastikan setiap ahli MCW berpengetahuan tinggi dan yakin menyampaikan maklumat yang tepat kepada masyarakat.
  8. Penerimaan dan kerjasama rapat SPRM dan agensi kerajaan yang berfokus kepada pembangunan integriti dan tata kelola cemerlang seperti GIACC, IIM dan lain-lain lagi merupakan sebahagian kekuatan tambahan dan ‘kayu ukur’ kemampuan MCW bagi mencapai objektif yang digariskan.
  9. Dalam keadaan rasuah sudah menjadi pandemik di Malaysia, MCW mahu melahirkan lebih ramai wira antirasuah yang boleh dicontohi dan menjadi tokoh yang disegani.
  10. MCW akan memperkasakan sistem memorandum cadangan yang dihantar kepada pihak berkuasa dalam negara demi memastikan ianya berkualiti tinggi dan menjadi antara perkara WAJIB untuk dilaksanakan.
  11. Mengetengahkan lebih ramai ahli MCW yang terdiri daripada golongan generasi muda sebagai individu yang mampu bekerja dalam NGO, intelektual dan mempunyai skil komunikasi (perhubungan awam) yang hebat dalam berurusan dengan pihak berwajib dan rakan-rakan strategik MCW bagi mencapai matlamat pelan strategik jangka panjang perjuangan ini.

MOTO MCW

“ANTIRASUAH BERMULA DARIPADA ANDA”

“ANTI CORRUPTION START FROM YOU”

SLOGAN PERJUANGAN MCW

“KOMITED. AGRESIF. PERANGI RASUAH”