PASUKAN Petugas Khas Imunisasi COVID-19 (CITF) akan cuba memastikan keseimbangan agihan vaksin kepada negeri-negeri, kata Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin.
Menurut Khairy, keseimbangan ini adalah dengan mengambil kira jumlah vaksin yang telah dihantar pihak pembekal,jumlah populasi setiap negeri dan sudah pastinya nilai ambang yang ditetapkan di bawah Pelan Pemulihan Negara (PPN).
Katanya, ini agar setiap negeri dapat beralih daripada satu fasa kepada fasa berikut dalam tempoh masa yang tidak jauh berbeza antara satu negeri dengan negeri yang lain.
“Ada negeri yang minta dipercepatkan dan saya telah nyatakan pada Ogos, kita akan benarkan negeri terlewat untuk catch up negeri ke hadapan.
“Walau bagaimanapun, dalam keadaan tertentu contohnya jika fasa kawalan wabak perlu diaktifkan di satu-satu kawasan, CITF perlu membuat perubahan jumlah pengagihan vaksin yang telah dijadualkan.
“Ini bagi membolehkan kawasan kawalan wabak dapat melaksanakan vaksinasi kepada populasi di kawasan tersebut pada kadar segera,” katanya pada sesi penerangan imunisasi pada sidang khas Dewan Rakyat hari ini.

Soal agihan vaksin yang tidak seimbang antara sesebuah negeri dan kawasan antara yang sering dibangkitkan termasuk oleh ahli-ahli Parlimen.
Ini memandangkan ada negeri yang mencatatkan pemberian vaksin lebih tinggi berbanding negeri lain.
Baca artikel berkaitan: Sultan Selangor gesa tambah pemberian vaksin di Selangor
Tambah Khairy, kadar dan capaian vaksinasi COVID-19 di negara ini sangat bergantung kepada jumlah bekalan vaksin yang diterima daripada syarikat pembekal.
“Seperti mana yang saya sebutkan tadi, kita mula menerima jumlah dos vaksin yang lebih banyak pada bulan Jun dan jumlah ini akan terus bertambah pada suku ketiga iaitu pada bulan Julai, Ogos dan September.
“Sehingga 27 Julai, seramai 12,487,441 orang penduduk Malaysia atau bersamaan 38.2 peratus keseluruhan populasi telah menerima sekurangkurangnya satu dos vaksin COVID-19.
“Daripada jumlah ini, 5,905,906 orang atau 18.1 peratus populasi telah mendapat dos lengkap vaksin. Ini
menjadikan jumlah vaksin COVID-19 yang telah diberikan adalah sebanyak 18,393,347 dos.
“Berdasarkan populasi dewasa pula, sebanyak 53.3 peratus telah menerima sekurang-kurang satu dos dan 25.2 peratus populasi dewasa di Malaysia telah menerima dos lengkap,” jelasnya.
Ujar Khairy, bagi bulan Julai, sasaran purata yang telah ditetapkan adalah sebanyak 300,000 suntikan dos sehari.
“Sehingga semalam, purata yang telah dicapai sepanjang bulan Julai adalah sebanyak 378,000 dos sehari.
“Ini bermakna, telah berlaku peningkatan sebanyak 124 peratus apabila dibandingkan kadar purata antara bulan Jun dan purata bulan Julai sehingga hari semalam,” ujarnya.
Dalam pada itu, Khairy memaklumkan, selain Jepun, Amerika Syarikat dan China, kerajaan juga sedang dalam perbincangan dengan beberapa buah negara lagi yang telah menyatakan kesediaan untuk turut menyumbang bekalan vaksin kepada Malaysia.
Menurut beliau, ini seperti negara United Kingdom (UK) dan Arab Saudi.
“Penerimaan sumbangan vaksin daripada negara-negara ini akan dapat membantu Malaysia untuk mempercepatkan lagi pemberian vaksin di samping bekalan vaksin yang telah dibeli oleh Kerajaan.
“Bagi pihak Kerajaan Malaysia, saya ingin mengucapkan terima kepada negara-negara ini,” katanya.
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

