Tindakan mengejek Muhyiddin menunjukkan sikap jahil Ahli Parlimen – Hadi Awang

Dari Penulis

DATUK Seri Abdul Hadi Awang menyifatkan tindakan Ahli-ahli Parlimen yang mengejek kenyataan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Dewan Rakyat bahawa ‘kerajaan Perikatan Nasional (PN) tidak sempurna’ hanya menunjukkan kejahilan mereka dalam memahami kenyataan itu.

“Apabila Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin membuat kenyataan bahawa kerajaan PN tidak sempurna, maka kedengaran suara ejekan riuh-rendah pihak yang menandakan tahap kefahaman mereka, tanpa disedari dirinya bersifat sangat jahil,” kata Presiden Pas tersebut.

Ahli Parlimen Marang itu berkata, keadaan itu berlaku apabila politik dipisahkan daripada agama sehingga menjadikan seseorang pengamal politik itu tidak berakhlak serta tanpa menyedari melakukan sikap yang terlanjur sehingga melupakan bahawa tiada yang sempurna melainkan Allah sahaja.

“Seseorang yang beriman hendaklah menunjukkan sifat tawaduk secara terbuka dan menunjukkan moral yang tinggi menjadi hamba Allah,” katanya dalam Minda Presiden Pas bertajuk ‘Hanya Kerajaan Allah Maha Sempurna’ yang disiarkan di laman media sosialnya hari ini.

Selain itu juga, Abdul Hadi berkata, mereka hendaklah beriman bahawa Allah sahaja yang maha suci daripada segala kekurangan dan kelemahan, khususnya dalam menghadapi wabak penyakit besar yang sedang melanda seluruh dunia dan tidak diketahui bilakah penghujungnya.

BERITA BERKAITAN Muhyiddin, Hadi Awang pemimpin politik tanah air paling popular – Tinjauan

Beliau berkata, Allah memberikan kerajaan kepada manusia sebagai ujian dalam kehidupannya dengan memetik firman Allah dalam Surah al-Mulk (Ayat 1-2) yang bermaksud: “Maha Berkat (serta Maha Tinggi kelebihan) Tuhan yang menguasai segala kerajaan; dan memanglah Dia Maha Kuasa atas segala sesuatu. Dialah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kalian) untuk menguji dan menzahirkan keadaan kalian: siapakah antara kalian yang lebih baik amalnya; dan Dia Maha Kuasa, lagi Maha Pengampun.”

Katanya, Allah memberikan kurniaan menjadi kerajaan kepada golongan yang beriman dan tidak beriman, bagi menguji mereka dalam kehidupan dunia ini dan pada masa yang sama, Allah memberikan petunjuk dan membuka pintu keampunan serta taubat seluas-luasnya.

“Ada sebahagian daripada mereka yang menyedari bahawa dirinya hanyalah makhluk Allah dan hamba-Nya yang lemah. Ada juga sebahagiannya yang sombong atau takabbur dengan menganggap hanya dirinya sahaja yang sempurna,” katanya.

Katanya, ujian Allah termasuk kepada kerajaan yang didirikan oleh Rasulullah SAW, makhluk-Nya yang dilantik menjadi teladan kepada seluruh manusia yang juga tidak disempurnakan kerajaan tersebut dalam sekelip mata.

“Maka, diturunkan ayat-ayat al-Quran yang disempurnakan dalam tempoh masa lebih 20 tahun,” tambahnya.

Abdul Hadi berkata, ayat-ayat yang diturunkan menyentuh perkara dasar yang tidak berubah menjadi pegangan teguh sejak Nabi Adam hingga Hari Kiamat dan begitu juga ayat-ayat yang diturunkan dengan sebab kelemahan manusia, termasuklah kesilapan yang berlaku sebagai bentuk tarbiah yang lebih berkesan kepada mereka.

“Khususnya dalam urusan kehidupan manusia yang berubah, berbeza dan tersilap, maka ayat yang diturunkan memperbetul kesilapan yang berlaku,” tambahnya.

Katanya, Islam memperkenalkan konsep syura dan nasihat bagi mengatasi kelemahan manusia dengan izin Allah dengan manusia dibenarkan untuk memberikan pendapat dengan berijtihad dalam perkara yang tiada nas di dalam al-Quran atau hadis Rasulullah.

“Dalam perkara ijtihad, seseorang itu diberikan dua pahala sekiranya betul dan hanya diberikan satu pahala sahaja kepada yang salah. Rasulullah sendiri menerima nasihat para sahabatnya dalam urusan keduniaan,” katanya.

Abdul Hadi berkata, kedatangan wabak Covid-19 adalah suatu ujian Allah kepada seluruh dunia yang tiada mana-mana kuasa besar dan kuasa kecil yang dapat menghalangnya.

“Namun begitu, manusia diuji dengan keinsafan. Ilmu dan akal diwajibkan untuk terus merancang, berusaha dan berikhtiar bagi menghadapi ujian wabak dan segala kesan sampingannya,” katanya.

Katanya, Allah mengurniakan kemampuan akal dan ilmu kepada manusia, di samping kemampuan hidup bermasyarakat yang mewajibkan mereka saling bertolong-menolong sesama sendiri.

“Maka tindakan yang wajib secara fardhu ‘ain dan fardhu kifayah perlu dilakukan, bukan sahaja dalam aspek perubatan, bahkan melibatkan aspek pentadbiran, keselamatan dan segala kegiatan serta pergerakan untuk hidup.

“Situasi wabak Covid-19 yang dihadapi kini, memerlukan kerjasama sejagat yang holistik, sehingga seluruh manusia laksana berada dalam satu bahtera yang sedang menghadapi taufan yang besar,” katanya. – UtusanTV

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Berkaitan

Harga diesel turun 30 sen seliter minggu ini

HARGA diesel di Semenanjung diturunkan 30 sen seliter bagi tempoh 18 Jun hingga 24 Jun ini. Kementerian Kewangan dalam kenyataan...

More Articles Like This