KADAR pemberian vaksin menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) terus berjalan rancak di seluruh negara.
Sehingga semalam, lebih 16 juta individu seluruh negara telah pun menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.
Jumlah lebih 16 juta itu atau lebih tepat 16.347 juta individu merangkumi 69.8 peratus golongan dewasa seluruh negara.
Secara keseluruhan, pemberian vaksin telah pun mencecah 25.863 juta sejak PICK bermula penghujung Februari lalu.
Ia merangkumi 9.516 juta atau 40.7 peratus populasi dewasa yang telah pun melengkapkan proses vaksinasi masing-masing.
Semalam, jumlah pemberian vaksin kembali meningkat melebihi paras 400,000 setelah mencatatkan 497,352 dos.
Sebanyak 227,506 dos merupakan suntikan pertama manakala baki 269,846 lagi adalah bagi dos kedua vaksin COVID-19.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, sehingga semalam 29.1 peratus populasi telah pun selesai menerima dua dos vaksin.
Baca artikel berkaitan: 39.5 peratus dewasa lengkap dua dos, keseluruhan 9.246 juta
Bagi pemberian dua dos vaksin mengikut negeri, Dr. Adham berkata, Lembah Klang terus mencatatkan pemberian tertinggi melibatkan 3.570 juta atau 42.4 peratus populasi.

Beliau berkata, ia diikuti liputan 1.568 juta (55.7 peratus populasi) di Sarawak; 634,188 (16.8 peratus populasi) di Johor; 592,448 (23.6 peratus populasi) di Perak; dan sebanyak 514,184 (13.2 peratus populasi) di Sabah.
Menurut Dr. Adham, Negeri Sembilan menjadi penerima keenam tertinggi iaitu sebanyak 453,190 individu melengkapkan dua dos diikuti Pulau Pinang (430,128) dan 428,911 di Kedah.
“Seterusnya, Pahang berjumlah 330,369; Kelantan telah mencatatkan 328,459 lengkap dos kedua dan 269,830 di Terengganu.
“Di Melaka pula, sebanyak 246,082 telah lengkap dua dos vaksin diikuti 89,404 di Perlis dan 59,659 di Labuan,” katanya menerusi infografik yang dimuat naik ke akaun Twitter miliknya hari ini.
Mengulas lanjut, Dr. Adham berkata, Lembah Klang merangkumi Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya juga menjadi penerima tertinggi bagi pemberian satu dos vaksin iaitu sebanyak 6.328 juta.
Selain Lembah Klang negeri penerima dos pertama tertinggi, Sarawak menjadi negeri tertinggi seterusnya iaitu seramai 1.791 juta individu.
Ia diikuti Johor 1.485 juta; Sabah (1.188 juta); Perak (949,333) dan Pulau Pinang (910,915).
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

