HASRAT Kpl U Mohamad Ehsan Sehamat untuk mengadakan majlis kesyukuran buat bakal anak sulung dan rumah baharunya tidak kesampaian, apabila malang menimpa beliau awal pagi semalam.
Mohamad Ehsan merupakan antara empat anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang terkorban, dalam insiden tembak pada pukul 7.15 pagi semalam di Unit TUDM di Kota Samarahan, Kuching.
“Arwah pernah memberitahu bahawa selepas isterinya bersalin dia akan mengadakan majlis selamat buat rumah baharu dan anaknya sekali, tapi tidak sempat.
“Rumahnya di Kampung Asajaya masih dalam pembinaan, lantai sudah siap cuma kini perlu pasang bata sahaja,” kata ibu Arwah Fatimah Narawi, ketika ditemui pemberita di rumah mayat Hospital Umum Sarawak (HUS) di Kuching hari ini.
Allahyarham Mohamad Ehsan merupakan anak keenam daripada 10 adik-beradik.
Selain Mohamad Ehsan, turut terkorban dalam insiden itu ialah Laskar Udara (LU) Nesly Anak Nabau, Kpl U Ho Swee Boon dan Kpl U Sharif Mohd Siddiq Al-Attas Wan Sabli.
Baca artikel berkaitan: Insiden tembakan rakan sekerja di Kem TUDM, empat dilapor maut
Sementara itu, Isteri Arwah, Nur Atiqah Supyie, 29, yang mengandung enam bulan berkata, mereka telah bernikah pada November tahun lalu dan sangat teruja menanti kelahiran anak sulung mereka.
Katanya beliau meredai pemergian arwah suaminya dan berharap proses bedah siasat dan pengebumian suaminya dipercepatkan.
Pihak Bernama yang berada di HUS turut dimaklumkan oleh pihak TUDM bahawa, proses membawa keluar kempat-empat jenazah akan mengambil masa yang lama, kerana ia melibatkan kes jenayah.
Difahamkan persiapan pengebumian arwah Mohamad Ehsan juga sedang dilakukan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Asajaya Laut.
Petang semalam, Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Ackbal Abdul Samad turun padang meninjau dengan lebih jelas untuk mengetahui kejadian tersebut.
Beliau kemudian menyantuni waris keluarga Pergerakan Udara Pangkalan Udara Kuching sekali gus menyampaikan sumbangan kepada kesemua waris mangsa yang terlibat bagi memastikan kebajikan waris terjaga.

Dalam pada itu, beliau turut menzahirkan ucapan takziah kepada balu dan keluarga mangsa dan berharap mereka bertabah dengan kejadian tersebut.
Menerusi kenyataan tersebut, pihak TUDM sedang membuat segala urusan berkaitan pengebumian jenazah dan urusan kebajikan kepada waris anggota.
Kejadian tembakan yang mengorbankan empat anggota TUDM itu berlaku kira-kira jam 7.15 pagi semalam di Skuadron 330, di Kota Samarahan.- BERNAMA
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

