Marjohan Amin.

GOLONGAN belia menyambut baik pengumuman Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam terutama berhubung pelaksanaan Undi 18 dan mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada dua penggal.

Timbalan Pengerusi Gabungan Persatuan Belia Bahagian Pedalaman Bawah Sabah, Marjohan Amin berkata, langkah ini membolehkan lebih ramai anak muda dilibatkan dalam proses memilih kepimpinan negara seterusnya memberi ruang untuk mereka menyampaikan aspirasi.

Pada masa sama katanya, pengumuman Perdana Menteri semalam juga memperlihatkan kesediaan kerajaan bekerjasama dengan semua pihak terutama pembangkang untuk sama-sama memerangi wabak COVID-19.

“Ini menunjukkan kerajaan sedia membawa aspirasi semua pihak demi rakyat,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Menurut Marjohan, dalam memerangi pandemik yang sedang memuncak ketika ini, semua pihak perlu untuk bekerjasama tanpa mengira parti kerana semua yang hendak dilakukan adalah demi rakyat.

“Gencatan politik dan kerjasama dwipartisan perlu bagi memberi lebih ruang kepada pihak kerajaan melaksanakan segala perancangan untuk melandaikan statistik dan bilangan mangsa-mangsa COVID-19 ini.

Baca artikel berkaitan: Persefahaman rentas parti tawaran berjiwa besar – PINTAR

Usaha lulus undi percaya, kerajaan berunding dengan parti-parti pembangkang – Muhyiddin

“Golongan belia sudah bosan dengan permainan politik berlebihan. Kami menyeru agar semua pihak bekerjasama dan membantu rakyat dalam menghadapi kepayahan dan kesukaran ketika ini yang dibawa oleh pandemik ini,” jelasnya.

Katanya lagi, dalam suasana pandemik dan politik ketika ini, pertukaran kerajaan dan kepimpinan negara tidak akan menjamin kestabilan dan kejayaan dalam peperangan dengan COVID-19 ataupun memanfaatkan rakyat.

Marjohan turut merakamkan terima kasih kepada sifat Perdana Menteri proaktif yang sedia mendengar dan melakukan perubahan mengikut suara rakyat.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram