LABUAN dan Sarawak menjadi bukti bagaimana vaksin mampu mengurangkan kesan serius COVID-19 sekali gus mengurangkan tekanan kepada sistem penjagaan kesihatan negara.
Meski pun jumlah kes masih dilaporkan, tetapi kadar kemasukan individu positif COVID-19 ke wad khususnya unit rawatan rapi (ICU) dan kes kritikal lain dapat dikurangkan dengan ketara.
Kini Kuala Lumpur juga sudah menunjukkan trend penurunan kemasukan pesakit ke wad hasil peningkatan dos lengkap COVID-19 dalam kalangan populasi dewasa seperti dimaklumkan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah semalam.
Hal sama diakui seorang pakar perubatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) yang berkongsi di Facebook beliau mengenai situasi di wad yang kini semakin ‘menampakkan sinar’ berbanding bulan-bulan sebelumnya.
Dalam hantaran yang dikongsikan ribuan pengguna Facebook lain itu, Pakar Anestesiologi dan Rawatan Rapi HKL, Dr Hana Hadzrami menyifatkan ‘sudah kelihatan titik cahaya di hujung terowong yang gelap’ hasil kadar vaksinasi yang tinggi.
Menurut Dr Hana, jika dulu senarai nama menunggu untuk dimasukkan ICU sangat panjang, kini jumlahnya sudah berkurangan sedikit.
Malah katanya, sejak minggu lalu, jumlah kes kritikal dalam kalangan pesakit warganegara mulai turun dengan majoriti warga asing dan mereka yang tidak mempunyai sejarah vaksinasi.
“Kami di Lembah Klang sudah mulai nampak titik cahaya dihujung terowong yang gelap. Samar-samar tapi penuh harapan,” kata catatan Dr Hana yang dikongsi lebih 6,000 pengguna Facebook setakat petang ini.
Setakat semalam, 62.6 peratus populasi dewasa di Lembah Klang sudah lengkap dua dos vaksin hasil Operasi Lonjakan Kapasiti susulan peningkatan kes di Lembah Klang tidak laama dahulu.
Baca artikel berkaitan: Vaksin lengkap turunkan kes kemasukan ke hospital di 5 negeri
Berikutan catatan Dr Hana seperti dalam hantaran Facebook beliau.
Sebenarnya dari minggu lepas saya simpan khabar gembira ini.
Kami di Lembah Klang sudah mulai nampak titik cahaya dihujung terowong yang gelap. Samar-samar tapi penuh harapan.
Awal Julai kami dapati kemasukan pesakit COVID-19 warga emas mulai menurun. Minggu lepas jumlah kemasukan pesakit warganegara mulai menurun. Majoriti yang datang adalah warga asing.
Referral dari ED kepada team ICU untuk pesakit COVID-19 kritikal semakin berkurang. Kalau dulu, panjang senarai menunggu di papan tulis ICU, dengan kertas bersambung-sambung sebab tak cukup ruang. Sekarang dah nampak sedikit ruang.
Kalau dulu, mayat berbungkus berselang-seli dengan katil pesakit hidup, dan canvas memenuhi segenap ruang dan laluan di ED. Sekarang dah nampak lantai.
Jumlah pesakit kategori ringan mungkin masih ramai tetapi mereka cuma perlukan pemantauan dan rawatan di wad saja.
Masih ada referral pesakit COVID-19 kritikal ke ICU dari kalangan warganegara namun terdiri dari mereka yang tolak vaksinasi. Apa nak buat.
Ada juga pesakit COVID-19 kritikal dari kalangan yang divaksinkan namun mereka sembuh sangat cepat berbanding yang tak divaksinkan langsung.
Empat pesakit kami yang dah divaksinkan perlu bantuan pernafasan hanya 3-4 hari berbanding 2-3 minggu pesakit lain yang tak sempat menerima vaksin.
Mereka pulih dengan X-ray dada yang bersih. Berbanding dengan majoriti yang rabak paru-parunya. Belum masuk yang dah meninggal.
Jumlah pesakit di ICU kami masih ramai. Hasil sebulan lepas punya kemasukan. Jumlah mereka yang BID (kematian di luar hospital) pun masih ramai. Kita belum lagi menang.
Tak sabar nak jadi macam Sarawak. Di sana pesakit COVID-19 kritikal di ICU hanya 3 orang. Sejajar dengan kelajuan dan keluasan kadar vaksinasi mereka.
Kita berusaha dan bertawakal.
Insya-Allah vaccine works!
Hana Hadzrami
Slowly but surely
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

