UMNO sebagai sebuah parti yang mempunyai pengalaman luas dan panjang dalam mentadbir negara akan mempertimbangkan beberapa calon sebagai Perdana Menteri baharu.
Perkara itu dimaklumkan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dalam kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, kata beliau, UMNO mengharapkan kerjasama serta sokongan semua Ahli-Ahli Parlimen berhubung calon yang akan dikemukakan parti tersebut.
Pada masa sama, Ahmad Zahid turut menolak menamakan diri sendiri sebagai calon Perdana Menteri walaupun mengetuai parti terbesar.
“Sebagai manusia biasa, pastinya saya tidak dapat menyembunyikan perasaan terhiris apabila pelbagai tuduhan dan tohmahan dilemparkan ke atas diri saya sepanjang kemelut politik yang berlaku ini.
“Demi kepentingan rakyat dan negara, ketahuilah saya tidak pernah terlintas untuk menamakan diri saya sebagai calon Perdana Menteri walaupun mengepalai sebuah parti terbesar.
“Saya ingin menyeru kepada seluruh ahli dan kepimpinan UMNO di semua peringkat untuk mengenepikan segala perbezaan dan kembali bertaut demi menjayakan agenda rakyat dan negara ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Baca artikel berkaitan: Memahami fungsi kerajaan caretaker, rakyat jangan pening
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid turut mencadangkan beberapa perkara bagi mengelakkan krisis politik daripada terus berulang.
Antara cadangan yang dikemukakannya termasuk mewujudkan sebuah Kabinet efektif mirip ‘Kabinet Perang’ yang hanya memberi tumpuan kepada proses pemulihan negara mendepani pandemik.
Beliau berkata, sebuah kerajaan yang stabil juga mesti segera ditubuhkan untuk satu tempoh yang munasabah.
“Kerajaan yang stabil mesti segera ditubuhkan untuk satu tempoh munasabah yang akan memfokuskan hanya menangani perang pandemik COVID-19 dan menguruskan soal-soal kesejahteraan rakyat yang semakin meruncing.
“Setelah negara mencapai imuniti kelompok dan keadaan memungkinkan untuk Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) diadakan, maka kerajaan ini harus dibubarkan bagi menyerahkan semula mandat mutlak kepada rakyat.
“Bagi menjamin kestabilan dan kerjasama politik dicapai, tindakan menzalimi parti dan pimpinan lawan hendaklah dihentikan. Menggunakan agensi-agensi kerajaan untuk melemahkan lawan dalam mengekalkan kuasa tidak akan memberi apa-apa faedah kepada rakyat,” jelas beliau.
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

