Pendakwah terkenal, Ebit Lew GAMBAR: Abd Razak Aid

POLIS meneruskan siasatan berhubung kes gangguan seksual melibatkan Ebit Lew dengan mengadakan serbuan ke atas rumah pendakwah terkenal itu petang tadi.

Memetik laporan Astro Awani, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Abd. Jalil Hassan mengesahkan kehadiran polis ke kediaman Ebit dalam usaha mencari bahan bukti.

Menurut Abd. Jalil, pasukan penyiasat daripada Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11) membuat kerja-kerja penggeledahan bagi mencari bahan bukti termasuk telefon bimbit milik Ebit bagi membantu siasatan.

Sementara itu, Sinar Harian melaporkan tiga buah kenderaan dipercayai milik polis dilihat memasuki kawasan kediaman Ebit di Setia Alam kira-kira pukul 4.15 petang tadi.

Selang beberapa minit kemudian, sebuah kenderaan pacuan empat roda berwarna hitam yang mempunyai logo badan kebajikan pendakwah berkenaan turut dilihat memasuki kawasan perumahan tersebut.

Kunjungan polis itu difahamkan untuk menjalankan siasatan lanjut berhubung kes gangguan seksual yang dikaitkan dengan pendakwah berkenaan.

Baca artikel berkaitan: ‘Dipanggil bantu siasatan fitnah kejam, melampau’ – Ebit Lew

Ebit Lew dipanggil bantu siasatan di bawah tiga seksyen

Kenderaan polis kemudian dilihat keluar daripada kawasan perumahan tersebut kira-kira pukul 5.13 petang.

Terdahulu, Ebit yang tiba di Bukit Aman kira-kira pukul 9 pagi tadi mendakwa telah dipanggil polis ekoran fitnah yang disifatkannya sebagai kejam dan melampau.

“Saya dipanggil hari ini untuk membantu siasatan dan saksi terhadap tuduhan dan gosip di luar sana.

“Saya telah membantu, terserah sepenuhnya kepada polis. Ini satu fitnah yang kejam dan melampau tetapi saya reda,” katanya.

Abd. Jalil dalam kenyataan selepas itu mengesahkan Ebit atau nama sebenarnya Ebit Irawan Ibrahim Lew telah dipanggil untuk merakam keterangan percakapannya di Bukit Aman.

Siasatan membabitkan Ebit dijalankan di bawah tiga seksyen iaitu Seksyen 509 Kanun Keseksaan, Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Semalam, UtusanTV melaporkan seorang pendakwah terkenal dipercayai akan dipanggil untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan melibatkan kes gangguan seksual.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram