POLIS Diraja Malaysia (PDRM) telah mengemukakan permohonan kepada agensi keselamatan luar negara bagi menyiasat dakwaan mengatakan dua rakyat negara ini ditahan pihak berkuasa Taliban di Afghanistan.
Ketua Polis Negara Datuk, Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, pihaknya mengambil maklum mengenai laporan berita dua rakyat negara ini ditahan kerana penglibatan mereka sebagai pejuang kumpulan IS.
“Setakat ini, PDRM tidak mempunyai sebarang maklumat berhubung penglibatan rakyat Malaysia dengan aktiviti IS di Afghanistan.
“Bagaimana pun, siasatan sedang dijalankan berhubung kemungkinan berita yang dilapor tersebut melibatkan pejuang IS warganegara Malaysia yang telah sedia ada berada di luar negara,” katanya dalam satu kenyataan malam ini.
Baca artikel berkaitan: Polis tembak mati dua anggota Abu Sayyaf di Sandakan
Media antarabangsa melaporkan dua rakyat Malaysia antara enam individu yang ditahan pihak berkuasa Taliban kerana terbabit dalam pertemburan bersenjata di Kabul, Afghanistan pada Khamis lepas.
Cabang IS di Afghanistan dikenali dengan singkatan IS-K dikatakan menentang Taliban dan tentera Amerika Syarikat (AS).
IS-K adalah serpihan daripada anggota Taliban yang menyasar untuk menubuhkan pemerintahan khalifah di wilayah yang sebelum ini disebut Khorasan, kawasan yang merangkumi sebahagian Iran, Afghanistan dan beberapa bahagian Asia Tengah.
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

