awet muda

AFA adalah sejenis alga iaitu kumpulan tumbuhan rumpai air yang semakin banyak digunakan sebagai bahan dalam makanan tambahan kerana dikatakan dapat merangsang stem sel menghasilkan sel baru.

“Umur? Rahsia!”

Usia bagi sesetengah wanita, isu sensitif untuk dibualkan! Tapi dengan kemajuan teknologi kini, siapa perlu takut lagi pada usia? Ia hanya suatu angka! Semakin bertambah nombor, semakin jelita kita jika tahu rahsianya.

Yang kita tahu: Antipenuaan adalah awet muda iaitu kelihatan muda terutama di bahagian muka.

Sebenarnya: Antipenuaan lebih daripada sekadar awet muda di bahagian muka! Sebaliknya organ dalaman penting untuk memudakan bahagian luaran.

Mudakan dahulu bahagian dalaman barulah luaran akan kelihatan awet muda.

Sekiranya kita hanya mengutamakan bahagian luaran sahaja, ianya seperti mengecat kereta lama agar kelihatan baru tetapi enjin kereta tidak diservis. Lama-kelamaan kereta sahaja nampak baru tetapi selalu rosak.

Yang kita tahu: Gaya hidup tidak sihat seperti merokok dan minum arak merupakan punca utama penuaan. Selain itu, pemakanan tidak seimbang, tekanan mental dan pendedahan kepada cahaya matahari berlebihan juga membuatkan kita lebih cepat tua.

Sebenarnya: Penuaan adalah satu proses di mana apabila usia kita bertambah, sel-sel yang semakin banyak mati tidak dapat diganti secukupnya. Setiap hari, sejumlah sel badan kita akan mati, bermula dari sel-sel kulit di luar badan hinggalah kepada sel-sel dalaman seperti jantung, hati, buah pinggang dan sebagainya.

Penuaan bukan setakat pada paras rupa, tetapi ianya juga melibatkan organ-organ dalaman. Sebab itulah semakin meningkat usia kita, semakin banyak masalah kesihatan yang kita hadapi.

Sebagai contohnya, penyakit diabetes berpunca daripada organ pankreas yang tidak dapat menghasilkan insulin dengan secukupnya. Ini kerana sel-sel pankreas yang mati tidak dapat digantikan secukupnya.

35 tahun? Jaga-jaga…

Dari sudut kesihatan, proses penuaan bermula seawal usia 35 tahun. Walaupun ia berbeza mengikut individu, namun apabila sudah melebihi usia tersebut kita patut mengambil berat tentang masalah ini.

Semasa kanak-kanak dan remaja, sel-sel yang dibentuk oleh tubuh jauh lebih banyak daripada sel-sel yang mati. Ini membolehkan kita membesar dan organ-organ dalaman menjadi matang.

Apabila berusia antara 20 hingga 35 tahun pula, sel-sel baru yang terbentuk adalah seimbang dengan sel-sel yang rosak dan mati. Jadi kesihatan pada usia ini adalah seimbang. Kita tidak lagi membesar dan juga tidak semakin tua.

Tetapi apabila mencecah usia 35 tahun ke atas, sel-sel yang rosak dan mati melebihi daripada sel-sel baru yang terbentuk! Jadi berhati-hatilah kala usia meniti 35 tahun!

“Walau bagaimanapun, ada individu yang dapat berfungsi melebihi tahap digambarkan kerana langkah kesihatan yang diambil mereka. Sebagai contoh sekiranya kita menjaga pemakanan agar seimbang, melakukan senaman secara konsisten dan mengambil makanan tambahan yang dapat membantu, maka proses penuaan dapat dilewatkan,” ujar doktor perubatan yang terkenal di Labuan ini.

Pendek kata, untuk kelihatan muda, kita perlu berusaha melambatkan penuaan dengan menstabilkan penghasilan sel baru agar seimbang dengan sel yang rosak dan mati. Persoalannya, apakah yang mempengaruhi pembentukkan sel baru ini?

Pembentukkan sel-sel baru dipengaruhi oleh jumlah stem sel yang terdapat dalam badan.

Semasa muda, sumsum tulang akan menghasilkan banyak stem sel, namun apabila semakin berusia, penghasilan stem sel oleh sumsum tulang akan semakin menurun.

Oleh itu, salah satu cara bagi melambatkan proses penuaan ialah dengan meningkatkan stem sel dalam badan. Ini kerana, semakin banyak stem sel dapat dihasilkan oleh badan kita semakin lambatlah kita menjadi tua.

Stem sel pulih keremajaan

Stem sel adalah sel-sel awal yang boleh bertukar kepada sel-sel jenis lain yang boleh membiak dengan sendirinya untuk membentuk sel-sel organ lain dalam badan.

Stem sel boleh melambatkan proses penuaan dengan cara menggantikan sel-sel yang mati dengan sel-sel yang baru. Ianya bukan saja boleh melambatkan proses penuaan malah juga memulihkan organ yang rosak.

Selain merupakan ejen antipenuaan, stem sel juga boleh digunakan untuk merawat pelbagai penyakit. Antaranya leukemia, limfoma, anemia aplasia dan lain-lain.

Konsepnya mudah, sekiranya kita dapat menggantikan sel-sel yang telah rosak atau mati dengan sel- sel yang baru, tentunya banyak masalah kesihatan dapat dipulihkan.