“KEPADA individu yang sedang bertarung dengan kemurungan, keresahan. Anda tidak keseorangan. Jangan anggap anda keseorangan, walaupun ketika menghadapi saat-saat paling gelap.”
Demikian kata Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin menerusi rakaman video yang dimuat naik ke akaun Twitternya sempena sambutan Hari Pencegahan Bunuh Diri Sedunia (WSPD) 2021.
Menurut Khairy, bantuan dan perkhidmatan kepada individu yang berdepan gangguan emosi sentiasa tersedia.
Beliau turut meletakkan dua talian yang boleh dihubungi bagi mengatasi masalah itu iaitu Talian Kasih (15999) dan Befrienders (03-76272929).
“Bantuan tersedia, kami di sini untuk anda.
“Saya meletakkan nombor untuk anda hubungi, perkhidmatan yang anda boleh akses. Harap anda dapat mengatasinya dan kami sedia membantu anda,” katanya.
Baca artikel berkaitan: Khairy dedah hospital baharu tergendala, dewan bedah di hospital lama pula tidak boleh dipakai

Dalam ciapan berasingan, Khairy merayu semua pihak supaya memainkan peranan bagi mengatasi risiko peningkatan bunuh diri dalam kalangan rakyat Malaysia.
Menurut beliau, pandemik COVID-19 yang telah melanda dunia sejak lebih setahun lalu telah menjejaskan kesihatan mental dan meningkatkan risiko tingkah laku bunuh diri.
Khairy turut memohon supaya orang ramai menunjukkan keprihatinan dan tidak mendiskriminasi.
“Pandemik ini sangat memberi kesan kepada semua orang dan meningkatkan risiko tingkah laku bunuh diri.
“Bunuh diri boleh dielakkan. Kita semua perlu memainkan peranan. Dapatkan bantuan, belajar untuk mengenal pasti tanda tingkah laku, tunjukkan keprihatinan, jangan diskriminasi. Kami bersedia untuk membantu anda,” jelas beliau.
WSPD yang disambut pada 10 September setiap tahun, dianjurkan Persatuan bagi Pencegahan Bunuh Diri Antarabangsa (IASP) yang disokong Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), bagi menggambarkan komitmen global untuk memberi fokus terhadap pencegahan bunuh diri.
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

