DATUK SERI NAJIB TUN RAZAK./ Gambar Fail Bernama.

BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan anaknya Datuk Mohd Nazifuddin memfailkan notis usul untuk mendapatkan kebenaran merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang menolak rayuan mereka bagi mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi berhubung pembayaran cukai masing-masing berjumlah RM1.69 bilion dan RM37.6 juta kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Peguam Wee Yeong Kang, yang mewakili Najib dan Mohd Nazifuddin selaku pemohon memberitahu pemberita bahawa notis usul itu difailkan secara berasingan semalam di Mahkamah Persekutuan menerusi Tetuan Shafee & Co dengan menamakan Kerajaan Malaysia selaku responden.

Dalam notis usul itu, mereka memohon diberi kebenaran untuk merayu kepada Mahkamah Persekutuan terhadap keseluruhan keputusan Hakim Mahkamah Rayuan pada 9 September lepas yang menolak rayuan kedua-dua perayu dengan kos RM10,000 setiap seorang.

Dalam notis itu, mereka turut mengemukakan sembilan persoalan undang-undang antaranya sama ada Seksyen 106 (3) Akta Cukai Pendapatan 1967 melanggar Perkara 121 Perlembagaan Persekutuan dan sama ada Seksyen 106 (3) itu tidak berperlembagaan atau ultra vires kerana ia telah merampas kuasa kehakiman mahkamah seperti termaktub di bawah Perkara 121 Perlembagaan Persekutuan.

Pada 9 September lepas, Hakim Datuk Abdul Karim Abdul Jalil yang mengetuai panel tiga Hakim Mahkamah Rayuan dalam keputusan sebulat suara, berkata mahkamah mendapati tiada merit dalam rayuan difailkan kedua-dua perayu (Najib dan Mohd Nazifuddin) dan tiada kekhilafan dalam penghakiman oleh kedua-dua hakim Mahkamah Tinggi yang harus diperbetulkan oleh mahkamah itu.

Najib dan Mohd Nazifuddin merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang membenarkan permohonan LHDN untuk penghakiman terus bagi mendapatkan semula tunggakan cukai pendapatan sebanyak RM1.69 bilion daripada Najib dan RM37.6 juta daripada Mohd Nazifuddin.

Najib dan Mohd Nazifuddin perlu membayar cukai berkenaan kepada LHDN selepas Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan LHDN untuk penghakiman terus dimasukkan terhadap mereka.

Baca artikel berkaitan: Najib, Mohd Nazifuddin gagal ketepikan keputusan bayaran cukai kepada LHDN

Penghakiman terus ialah apabila mahkamah memutuskan kes tertentu melalui hujahan tanpa mendengar keterangan saksi dalam perbicaraan.  

Perintah terhadap Najib dan Mohd Nazifuddin dikeluarkan masing-masing pada 22 dan 6 Julai tahun lepas oleh Hakim Datuk Ahmad Bache dan Hakim Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim.

Pada 25 Jun 2019, kerajaan menerusi LHDN memfailkan saman terhadap Najib menuntut beliau membayar RM1.69 bilion bagi cukai pendapatan yang belum dibayar, kadar faedah lima peratus setahun dari tarikh penghakiman, kos dan relif lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah.

LHDN, melalui kerajaan Malaysia juga telah memfailkan writ saman terhadap Mohd Nazifuddin pada 24 Julai 2019, mendakwa Mohd Nazifuddin masih belum membayar cukai untuk tahun taksiran dari 2011 hingga 2017 berjumlah RM37,644,810.73 seperti yang dinyatakan melalui notis taksiran bertarikh 15 Mac 2019.

LHDN memfailkan notis kebankrapan terhadap Najib dan Mohd Nazifuddin di Mahkamah Tinggi di sini pada 4 Feb lalu kerana gagal menjelaskan cukai pendapatan berkenaan.- BERNAMA

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram