SEBANYAK 356,510 permohonan program MyTravelPass telah diterima Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) sejak 7 Oktober 2020 sehingga 10 September lalu.

Daripada jumlah itu, Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, sebanyak 208,509 telah diluluskan; 127,465 ditolak; 6,697 dibatalkan sendiri pemohon dan 13,000 permohonan lagi sedang diproses tiga pasukan petugas.

Kata beliau, berdasarkan makluman daripada JIM, terdapat empat faktor yang boleh menyebabkan permohonan ditolak iaitu nama berada dalam senarai syak oleh JIM; dokumen tidak lengkap; dokumen dimuat naik tidak boleh dibaca dan dokumen dipalsukan.

Menurut Hishammuddin, mesyuarat Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik semalam telah membincangkan maklum balas dan pandangan orang ramai berhubung MyTravelPass.

“Susulan perbincangan berkenaan, saya ingin memaklumkan bahawa Majlis Keselamatan Negara (MKN) telah meminta JIM supaya mengkaji semula kategori-kategori permohonan yang boleh diberi kebenaran terus tanpa perlu memohon kelulusan melalui MyTravelPass.

“JIM akan membentangkan cadangan berkenaan kepada Jawatankuasa Teknikal COVID-19 MKN.

Baca artikel berkaitan: Langkawi kembali ‘bernyawa’, terima kehadiran pelancong

“Sekali lagi diingatkan, permohonan melalui MyTravelPass haruslah dibuat 14 hari sebelum hari jangkaan untuk berlepas. Permohonan tersebut perlu dibuat secara dalam talian di portal https://mtp.imi.gov.my,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menyentuh mengenai isu syarikat penerbangan meletakkan syarat penumpang menunjukkan MyTravelPass walaupun berada dalam kategori tidak perlu membuat permohonan, Hishammuddin menegaskan syarikat penerbangan tidak sepatutnya berbuat demikian.

“Saya telah minta Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong untuk memaklumkan kepada syarikat-syarikat berkenaan agar mengikut garis panduan yang telah ditetapkan,” jelas beliau.

Berikut senarai kategori-kategori perlu dan tidak perlu memohon kelulusan melalui MyTravelPass:

PERLU

i. Warganegara yang baru mendapat tawaran bekerja atau belajar di luar negara.

ii. Pelajar yang ingin menduduki peperiksaan di luar negara.

iii. Menghadiri mesyuarat / seminar / urusan perniagaan di luar negara.

iv. Menyertai pameran / pertandingan sukan / latihan di luar negara dengan mengemukakan surat sokongan daripada agensi kawal selia.

v. Urusan kecemasan ahli keluarga terdekat (kematian / ahli keluarga ditimpa kemalangan / sakit).

vi. Pemegang Visa Pasangan / Tunangan (perkahwinan yang tidak didaftarkan secara sah).

vii. Menyertai misi bantuan kemanusiaan / keagamaan dengan mengemukakan surat kelulusan yang telah diperoleh daripada Jawatankuasa Bersama JPM serta dokumen sokongan lain yang berkaitan.

TIDAK PERLU

i. Diplomat dan pegawai Kedutaan Malaysia yang akan / kembali bertugas di luar negara termasuk tanggungan masing-masing.

ii. Pelajar dan tanggungan yang meneruskan pengajian dengan syarat memiliki visa pelajar atau visa tanggungan yang sah.

iii. Pemegang Pas Jangka Panjang di luar Negara(Pemastautin Tetap / Pas Residen / Pas Kerja dan lain-lain)

iv. Bekerja dengan syarikat petroleum dan syarikat perkapalan yang perlu sign-on ke atas kapal di luar negara.

v. Mengiringi pelajar ke luar negara bagi tujuan belajar dan terhad kepada dua orang pengiring sahaja. Pengiring perlu melakukan perjalanan keluar bersama-sama pelajar pada masa yang sama.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram