Masih tiada kes jangkitan Covid-19 dikesan membabitkan pelancong domestik di Langkawi.

SELEPAS sekian lama ditutup ekoran pandemik COVID-19, pulau pelancongan terkenal Langkawi kembali menerima kedatangan pelancong pada hari pertama gelembung pelancongan yang bermula hari ini.

Dianggarkan kira-kira 3,200 pelancong akan tiba di sini menerusi tiga trip perjalanan feri dari Kuala Perlis, Perlis dan 18 penerbangan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang, Selangor dan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang.

Pesawat Boeing 737-800 MH1432 yang berlepas dari KLIA membawa 159 orang penumpang menjadi pesawat pertama mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi (LIA) pada pukul 10.45 pagi tadi.

Ketibaan mereka disambut Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Nancy Shukri dan Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor selain wakil daripada pelbagai agensi berkaitan yang terlibat menjayakan projek rintis gelembung pelancongan itu.

Pekerja swasta, Rosmazaini Mohd Zain, 50, yang tiba bersama suami dan empat anaknya menerusi pesawat itu mengakui begitu teruja apabila dapat menjejakkan kaki di Langkawi selepas sekian lama ‘terkurung’ di ibu negara.

“Saya sudah membuat tempahan sejak Januari lepas untuk ke Langkawi, tetapi selepas itu berlaku beberapa kali ‘lockdown’ atau sekatan pergerakan menyebabkan percutian kami tertangguh beberapa kali ini sehinggalah kerajaan mengumumkan gelembung perjalanan di Langkawi.

“Walaupun saya buat tempahan awal tetapi saya tidak batalkan dan pihak hotel juga benarkan kami pilih tarikh dalam tempoh setahun dan akhirnya saya pilih 16 Sept kerana kebetulan cuti sekolah dan hari ini kami dapat ke Langkawi,” katanya ketika ditemui pemberita di LIA.

Baca artikel berkaitan: Pelancong bercuti ke Langkawi wajib jalani ujian pengesanan

Berkongsi mengenai perjalanan hari ini, Rosmazaini berkata dia dan keluarganya perlu menjalani ujian pengesanan COVID-19 di KLIA dan proses tersebut disifatkannya berjalan lancar walaupun perkara itu baharu diumumkan oleh Kementerian Kesihatan, semalam.

Walaupun teruja berada di Langkawi, beliau tetap berasa sedikit bimbang untuk bercuti dalam suasana pandemik COVID-19 dan akan mengambil langkah berjaga-jaga termasuk menjaga prosedur operasi standard bagi mengelakkan sebarang risiko jangkitan.

Warga Sweden, Katarina Carlfalk, 43, pula berkata perjalanannya ke Langkawi hari ini cukup teratur walaupun melalui pelbagai proses yang diperlukan termasuk ujian pengesanan COVID-19 sebelum menaiki pesawat di KLIA.

“Rasa luar biasa berada di sini, ini kali pertama saya meninggalkan Kuala Lumpur sejak Disember. Malaysia memiliki banyak tempat menarik untuk dijelajahi dan saya tidak sabar untuk pergi ke pantai di Langkawi selepas sekian lama berada di Kuala Lumpur,” katanya yang bekerja di ibu negara.

Sementara itu, Nancy berkata kementeriannya juga teruja dengan kedatangan pelancong ke Langkawi pada hari ini di bawah projek rintis gelembung pelancongan yang akan menjadi kayu ukur untuk kerajaan membuka lebih banyak destinasi pelancongan pada masa akan datang.

“Langkawi adalah destinasi sesuai untuk kita laksanakan gelembung perjalanan kerana ia mempunyai semua produk yang diperlukan seorang pelancong. Jadi, kita akan gunakan Langkawi sebagai kayu ukur untuk pembukaan destinasi lain nanti.

“Kita sudah saksikan kumpulan yang pertama tadi sampai dengan wajah yang begitu gembira sekali…saya berterima kasih kepada semua pihak terutama kepada petugas barisan hadapan dan pihak Lembaga Pembangunan Langkawi yang banyak membantu kita untuk merealisasikan projek rintis ini,” katanya.

Muhammad Sanusi pula berkata seramai 2,200 pelancong akan tiba di Langkawi hari ini menerusi 18 penerbangan manakala kira-kira 1,000 lagi akan tiba menerusi tiga trip perkhidmatan feri dari Kuala Perlis, Perlis.

“Kita berdoa agar program rintis ini mencapai matlamat yang kita gariskan untuk menghidupkan semula sektor pelancongan di Langkawi dan memulihkan semula ekonomi pulau ini,” katanya. – BERNAMA

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram