Sebahagian daripada orang ramai menunggu di ruang pemerhatian selepas mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Covid-19 Mega Pusat Konvensyen IDEAL (IDCC), Shah Alam semalam. GAMBAR: Abd Razak Aid

SEBANYAK 40.12 juta dos vaksin COVID-19 diberikan kepada penduduk Malaysia setakat semalam menerusi Progoram Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) yang dilancarkan 24 Februari lalu.

Keseluruhannya, jumlah itu melibatkan 21.93 juta dos pertama manakala 18.29 juta lagi dos vaksin lengkap.

Menurut data Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV), ketika ini kesemua negeri sudah mencatatkan kadar vaksinasi lengkap populasi dewasa melebihi 60 peratus kecuali Perak, Kelantan dan Sabah.

Bagaimanapun, ketiga-tiga negeri itu sudah melebihi 50 peratus dan dijangkakan kesemua negeri akan mencatatkan peratus populasi dewasa lengkap divaksin melebihi 60 peratus akhir bulan ini.

Ketika ini, tertinggi ialah Lembah Klang dengan 106.1 peratus atau 6.53 juta individu lengkap divaksin diikuti Labuan (97.8 peratus) dan Negeri Sembilan (93.1 peratus).

Baca artikel berkaitan: Malaysia dijangka capai 80 peratus sasaran vaksinasi populasi dewasa Isnin ini

Kerajaan jalankan analisis keberkesanan vaksin COVID-19

Keseluruhannya setakat semalam, PICK berjaya memberikan vaksin lengkap kepada 78.2 peratus populasi dewasa atau 56.0 peratus populasi keseluruhan Malaysia.

JKJAV turut memaklumkan setakat semalam juga, sebanyak 93.1 peratus daripada populasi dewasa sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin COVID19.

Bagi vaksinasi harian pula, sebanyak 232,559 dos suntikan vaksin diberikan semalam.

Ini melibatkan 73,106 dos pertama dan 159,453 dos lengkap.

Sabah dan Johor antara negeri yang mencatatkan jumlah pemberian dos tertinggi semalam diikuti Perak dan Kuala Lumpur.

PICK dilancarkan pada 24 Februari lepas bagi memberikan vaksinasi untuk membendung pandemik COVID-19 di seluruh negara.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram