INSIDEN seorang remaja yang diberi suntikan dengan picagari kosong sehingga video kejadian itu tular disifatkan sebagai kesilapan ketika bertugas atau 'human error'.

INSIDEN seorang remaja yang diberi suntikan dengan picagari kosong sehingga video kejadian itu tular disifatkan sebagai kesilapan ketika bertugas atau ‘human error’.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Imunisasi Covid-19 Remaja (CITF-A) Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata, siasatan awal pihak ProtectHealth mendapati kejadian itu berlaku di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Universiti Malaya (UM) pada 30 September.

Menurutnya, dalam kejadian pada pukul 3.16 petang, petugas kesihatan itu tersalah ambil satu picagari kosong yang masih belum digunakan dari ruangan meja yang sama dengan picagari berisi vaksin.

“Petugas kesihatan itu mengikut prosedur ditetapkan seperti menunjukkan vaksin dikeluarkan dari botol vaksin melalui picagari dan menunjukkan yang berisi vaksin dengan dos sepatutnya kepada ibu remaja berkenaan.

“Dia kemudian meletakkan picagari tersebut di atas meja untuk melakukan proses nyah kuman di lengan remaja berusia 12 tahun terbabit sebelum memberikan suntikan, selepas menunjukkan picagari berisi vaksin.

“Bagaimanapun dia kemudiannya tersalah ambil picagari kosong dan membuat suntikan ke lengan remaja tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Dr Noor Azmi yang juga Timbalan Menteri Kesihatan I berkata, selepas selesai, petugas kesihatan itu menyedari kesilapannya dan memaklumkan kepada pegawai perubatan bertugas di PPV UM.

Ujar beliau, kedua-dua mereka segera mengadakan perbincangan dengan ibu bapa remaja tersebut.

“Selepas memahami penjelasan diberikan, ibu bapa remaja berkenaan memberi kebenaran untuk remaja terbabit diberikan suntikan vaksin di lengan berlainan mengikut prosedur dos kurang.

“Prosedur dos kurang adalah garis panduan klinikal yang mencadangkan pemberian vaksin di lengan berlawanan jika dos pertama dianggap tidak mencukupi dan dos semula diperlukan,” katanya.

Sementara itu, Dr Noor Azmi berkata, pihak CITF-A amat kesal dengan kejadian itu dan ingin memohon maaf kepada ibu bapa dan remaja terbabit berikutan kesulitan yang berlaku.

Katanya, kejadian itu disifatkan sebagai kesilapan ketika bertugas atau ‘human error’ dan petugas kesihatan berkenaan sudah diberi amaran supaya lebih berhati-hati dan mengikut prosedur ditetapkan.

“Prosedur dalaman juga ditambah baik dengan memastikan tiada picagari lain di ruangan meja sama ketika memberi suntikan.

“Ini bagi mengelakkan kejadian sama berulang. Keselamatan dan kesejahteraan penerima vaksin sentiasa menjadi keutamaan kami,” tambahnya.