Datuk Seri Mazlan Lazim. GAMBAR: Facebook Polis Johor

POLIS telah berjaya merampas sejumlah RM177.28 juta nilai barangan aktiviti penyeludupan menerusi Op Benteng COVID-19 yang dijalankan di seluruh negara sejak Januari hingga 23 September lalu.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, ia menerusi tiga aktiviti jenayah yang dilakukan di sempadan perairan negara iaitu pencerobohan pendatang asing tanpa izin (PATI), penyeludupan dadah dan kontraban seperti rokok serta arak.

Kata beliau, pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pasukan keselamatan lain akan terus mengukuhkan kawalan di sempadan perairan negara bagi memerangi aktiviti penyeludupan berkenaan.

“Pegawai dan anggota kita yang menjaga perairan negara memang memberi tumpuan kepada perkara ini kerana kita mempunyai pos petugas yang terletak di setiap daerah.

“Pada musim penularan COVID-19 ini memang kita beri fokus kepada mereka yang keluar masuk secara haram kerana kita tak mahu individu daripada negara jiran masuk ke sini dan membawa penyakit,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mengadakan lawatan kerja ke Markas Taktikal Sungai Koris, Batu Pahat, Johor, hari ini.

Baca artikel berkaitan: Mazlan Lazim dilantik Timbalan Ketua Polis Negara

Turut hadir, Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay.

Mengulas lanjut, Mazlan berkata, polis juga merampas sebanyak RM69.58 juta di sepanjang kawasan perairan Selangor hingga Johor tahun ini.

Selain merampas barangan seludup, kata beliau, polis juga telah menangkap PATI yang cuba menceroboh masuk ke kawasan negara.

Katanya, setakat ini seramai 253 pegawai dan anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 5 dan 6 ditugaskan di 22 pos kawalan antara Selangor ke Johor.

“Di Johor sahaja sebanyak 61 kes telah dikesan antara Januari hingga 30 September lalu.

“Keseluruhan tangkapan adalah seramai 273 individu dengan 107 adalah rakyat Malaysia yang menggunakan jalan penyeludupan.

“Warga asing pula melibatkan seramai 166 orang dengan tertinggi melibatkan warganegara Indonesia iaitu 160 orang diikuti Myanmar (lima orang) dan seorang dari Bangladesh atas pelbagai kes,” jelas beliau.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram