SURUHANJAYA Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan mesyuarat khas bagi membincangkan pelaksanaan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Setiausaha SPR, Datuk Ikmalrudin Ishak berkata, pihaknya akan memaklumkan tarikh mesyuarat tersebut kemudian.
Kata beliau, ia selepas SPR telah menerima pemakluman rasmi berhubung pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka penggal ke-14 daripada Speaker DUN semalam.
“SPR telah menerima pemakluman rasmi berhubung pembubaran DUN Melaka sebagaimana termaktub di bawah Fasal (2) Perkara 19 Perlembagaan Negeri Melaka.
“Berdasarkan Fasal (4) Perkara 19 Perlembagaan Negeri Melaka berkehendakkan suatu pilihan raya umum hendaklah diadakan dalam tempoh 60 hari dari tarikh pembubaran DUN itu.
“Justeru itu, SPR akan mengadakan mesyuarat khas bagi membincangkan mengenai pelaksanaan pilihan raya tersebut dengan tarikh mesyuarat berkenaan akan dimaklumkan kemudian oleh pihak SPR,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Baca artikel berkaitan: DUN Melaka bubar, beri laluan pilihan raya negeri – Speaker
ADUN BN, UMNO khianati kerajaan Melaka akan dipecat – Ahmad Zahid
DUN Melaka telah dibubarkan semalam bagi memberi laluan kepada PRN diadakan.
Speaker DUN Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh berkata, Yang di-Pertua Negeri, Tun Mohd. Ali Rustam telah membuat pertimbangan dan bersetuju untuk membubarkan DUN susulan nasihat daripada Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali.
Ab. Rauf berkata, sepucuk surat telah dikemukakan kepada Mohd Ali yang memaklumkan empat ADUN telah mengumumkan hilang kepercayaan terhadap Sulaiman dan pada masa sama meminta perkenan untuk pembubaran DUN.
Ab Rauf turut menyerahkan proklamasi pembubaran DUN Melaka kepada Pengarah SPR Melaka, Rudy Rohan Johan @ Ganesan.
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

