Muhamad Niezam Mohd Zaidi

PELAKON Muhamad Niezam Mohd Zaidi, bersama pengarah filem dan penolong pengarah yang dihadapkan ke Mahkamah Majistret, Kuala Kangsar hari ini mengaku bersalah atas pertuduhan memiliki dadah pada Ahad lalu.

KETIGA-tiga tertuduh dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuala Kangsar, hari ini. – Gambar Bernama

Muhamad Niezam, 28; pengarah filem, Mohd Latiff Zami, 49; serta penolong pengarah, Saiful Zaidrin Ismail, 46; membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Mohd Shazmeer Zamhari.

Muhamad Niezam didakwa ada dalam milikannya 1.15 gram (g) dadah jenis kanabis di sebuah rumah di Persiaran Jati, Taman Chandan Putri, di Kuala Kangsa, pada pukul 7.15 pagi pada 10 Oktober lalu.

Mohd Latiff dan Saiful Zaidrin pula masing-masing didakwa memiliki 0.3g dadah jenis kanabis serta 0.38g dadah jenis methamphetamine pada waktu, tarikh dan lokasi yang sama dalam pertuduhan ke atas Muhamad Niezam.

Muhamad Niezam dan Mohd Latiff didakwa mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM20,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

BERITA BERKAITAN Pelakon, pengarah dan penolong pengarah ditahan terlibat kes dadah di Kuala Kangsar

Menurut laporan BH Online, Saiful Zaidrin didakwa mengikut Seksyen 12(2) ADB 1952 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Syuhada Muhammad Lutfi, manakala ketiga-tiga tertuduh diwakili oleh peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Intan Shafini Mior Shahrin.

Nur Syuhada memohon ikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin dikenakan masing-masing ke atas Muhamad Niezam serta Mohd Latiff; dan RM8,000 juga dengan seorang penjamin terhadap Saiful Zaidrin.

Namun, Intan Shafini memohon jumlah jaminan itu dikurangkan dengan mengambil kira tanggungan ketiga-tiga tertuduh, selain kesemuanya turut hilang sumber pendapatan sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang lalu.

Mahkamah kemudian menetapkan ikat jamin RM3,000 ke atas Muhamad Niezam, Mohd Latiff (RM2,600) dan Saiful Zaidrin (RM3,200) masing-masing dengan seorang penjamin.

Mohd Shazmeer juga menetapkan tarikh 1 Disember depan untuk sebutan semula kes ketiga-tiga tertuduh sementara menunggu laporan kimia. – Agensi