PELAKON Niezam Zaidi memilih untuk tidak memberikan sebarang kenyataan susulan tuduhan memiliki dadah.
Niezam,29, turut memohon maaf kepada semua pihak kerana tidak membalas panggilan telefon dan kiriman mesej kepadanya.
“Assalamualaikum semua, saya minta maaf jika ada salah dan silap saya pada kalian semua.
“Saya minta maaf juga tidak dapat membalas satu-satu comment sahabat handai, media dan rakan2 seperjuangan melalui DM, WhatsApp, panggilan telefon dan sebagainya.
“Buat masa sekarang, saya simpan apa-apa komen mengenai isu ini. Semoga kalian semua sihat sentiasa dan diberkati serta dirahmati…amin,” tulisnya di Instagram.
Tambah pelakon filem Gudang Kubur itu lagi, dia turut melahirkan kesyukuran kepada Tuhan atas apa yang berlaku terhadap dirinya.
“Alhamdulillah, syukur pada Allah diatas apa yang terjadi.
“Jutaan terima kasih juga pada kalian semua yang selalu mendoakan saya selama ini, semoga Allah merahmati,” katanya.
ARTIKEL BBERKAITAN: Pelakon Niezam Zaidi, pengarah filem dan penolong mengaku salah miliki dadah , Pelakon, pengarah filem terlibat dadah direman dua hari , Pelakon, pengarah dan penolong pengarah ditahan terlibat kes dadah di Kuala Kangsar
Terdahulu, Niezam atau nama sebenarnya Muhamad Niezam Mohd. Zaidi bersama pengarah filem, Mohd Latiff Zami, 49 serta penolong pengarah, Saiful Zaidrin Ismail, 46, ditahan kerana memiliki dadah dan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuala Kangsar, Perak.
Muhamad Niezam didakwa ada dalam milikannya 1.15 gram (g) dadah jenis kanabis di sebuah rumah di Persiaran Jati, Taman Chandan Putri, di Kuala Kangsar, pada pukul 7.15 pagi pada 10 Oktober lalu.
Mohd Latiff dan Saiful Zaidrin pula masing-masing didakwa memiliki 0.3g dadah jenis kanabis serta 0.38g dadah jenis methamphetamine pada waktu, tarikh dan lokasi yang sama dalam pertuduhan ke atas Muhamad Niezam.
Muhamad Niezam dan Mohd Latiff didakwa mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM20,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Saiful Zaidrin didakwa mengikut Seksyen 12(2) ADB 1952 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Majistret Mohd Shazmeer Zamhari menetapkan tarikh 1 Disember depan untuk sebutan semula kes ketiga-tiga tertuduh sementara menunggu laporan kimia.

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

