Kisah yang dipaparkan minggu ini bukan pasal masalah bercerai, merujuk, bermadu atau nikah di Siam, tetapi pasal kes naik turun Mahkamah Syariah. Walaupun kes berjalan bertahun-tahun lamanya, tetapi keputusan tetap tak tercapai, ada yang tergantung tengah jalan.  

“Kalau ikutkan perasaan, mahu saya `naik hantu’ di mahkamah, sebab tiap kali ke mahkamah tak ada keputusan, semuanya menyebelahi pihak lelaki. Bertahun-tahun kita tunggu dengan sabar harap mahkamah buat keputusan muktamad memerintahkan bekas suami bayar segera hutang nafkahnya, malangya tidak. Tangguh dan tangguh.  

“Apa yang berlaku saya perhatikan, Mahkamah Syariah banyak ikut alunan, kehendak, dan kemahuan pihak lelaki. Minta tangguh bayar nafkah, mahkamah okey. Bekas suami tak datang mahkamah pun okey dan dia terlepas daripada waran tangkap dikeluarkan oleh ibu tunggal, pun okey. Tidak ada sebarang tindakan dikenakan ke atasnya, kerana dia ada seribu alasan.  

“Kelemahan mahkamah buat keputusan membuat ramai bekas suami tidak pernah takut tindakan Mahkamah Syariah, akibatnya ramai ibu ibu-tunggu jadi mangsa.’’ Itu cerita Hanim berdasarkan pengalaman pahitnya turun naik mahkamah.  

“Macam kes saya, bermula tahun 2013 saya buat tuntutan, tahun 2016 baru diputuskan bahawa  bekas suami mesti bayar nafkah tertunggak berjumlah RM20,000, hendaklah dibayar seberapa segera kepada saya.  

“Macam biasa, walaupun saya menang, dan mahkamah sudah buat keputusan, tetapi sesen pun bekas suami tak bayar hingga sekarang, hinggakan saya terpaksa buat tuntutan lagi kenapa masih tak bayar. Bermakna saya terpaksa buat tuntutan baru. Naik mahkamah lagi.  

“Pada hari yang ditetapkan bekas suami mesti datang setelah beberapa kali tak datang ke mahkamah. Tapi kali ini dia datang dengan peguam. Dan peguam buat rayuan minta mahkamah bagi peluang pada bekas suami supaya boleh bayar secara beransur-ansur. Dengan janji peguam, dia akan bayar nafkah RM500 sebulan. Mahkamah boleh ikut cakap bekas suami dan beritahu saya bahawa bekas suami akan bayar beransur RM500 sebulan.  

“Kita yang tengah susah, mana nak cari rezeki untuk makan pakai anak, sekolah anak dan sebagainya, terpaksa terima kehendak mahkamah yang telah membuat keputusan yang memihak dan ikut kehendak bekas suami.  

Saya kecewa bila hakim menerima alasan bekas suami saya yang sebenarnya membohong.

“Pernah atau tidak hakim terfikir bagaimana si ibu ini nak cari duit untuk besarkan anak-anaknya tanpa nafkah? Adakah si ibu ini terpaksa meminjam, bekerja separuh mati, untuk bagi makan anak-anak bubur nasi berlaukkan gula atau kicap saja.  

“Sepatutnya hakim bukan sahaja tegas, fikirkan sama masalah ibu tunggal yang terpaksa bekerja mencari rezeki. Nasihatkan bekas suami yang tak bertanggung jawab itu bahawa dia wajib beri nafkah. Itu tanggung jawab ayah, yang ditetapkan oleh Allah. Kalau patut bagi nasihat, bagilah nasihat, kalau ada hadis dan ayat Quran untuk sedarkan bekas suami tentang tanggung jawabnya maka hakim mesti pasak ke telinga bekas suami supaya dia insaf.  

“Macam kes saya, masa terus berlalu, nafkah tak nampak sesen pun dilemparkan kepada anak-anak yang nak makan dan nak belajar ini. Tapi bekas suami boleh pula kahwin lagi, pakai kereta mewah dan melancong bersama isteri barunya.  

“Saya bukan cemburu, lantak kaulah kalau nak kahwin 10 pun, tetapi apa hal anak-anak, mana nafkah mereka. mana tanggung jawab awak sebagai ayah yang wajib beri makan minum, pakaian serta pelajaran untuk anak-anak?

“Kerana nafkah masih tak dapat lagi, saya buat tuntutan lagi. Kali ini Saman Penghutang Penghakiman. Tiba hari yang ditetapkan, dia muncul bawa peguam lagi. Kali ini si peguam memohon pertimbangan bahawa si lelaki ini tak ada duit, tak ada kerja dan tunjuk surat cuti sakit, selain mendakwa selalu sakit-sakit.  

“Aduh pembohongnya, sedangkan dia bekerja dan sudah berkahwin lagi. tapi dia sengaja tak mahu bayar nafkah. Bertahun-tahun kita sabar, dia tetap dengan caranya berbohong demi melepaskan diri tak mahu bayar nafkah.  

“Kalau alasannya bahawa dia tak ada duit, mengapa dia boleh guna khidmat peguam untuk mempertahankan dirinya daripada bayar nafkah? Khidmat peguam bukan murah, setiap kali buka fail baru, si pelanggan kena bayar tak kurang RM6K. Setiap kali peguam hadir ke mahkamah dia akan dibayar paling kurang RM500. Bayaran kehadiran peguam namanya.  

“Bayaran ini cuma harga biasa. Kalau ambil peguam ternama, harganya lebih mahal lagi mengikut populariti sesebuah syarikat guaman atau peguam tersebut.  

“Jadi alasan bekas suami dia tak ada duit memang tak masuk akal.  Macam saya, saya memang tak ada duit nak guna khidmat peguam sebab itu saya pertahankan diri sendiri. Lagi pun saya menuntut yang menjadi hak anak-anak saya.  

Gambar hiasan : Bekas suami kata dia sakit dan tak ada duit untuk bayar nafkah, tapi dia guna khidmat peguam, kahwin baru dan pakai kereta besar boleh pula. Sudah begitu lama saya tanggung semua ini, tapi masih tak selesai lagi. Perjalanan kes dan keputusan mahkamah amat mengecewakan saya.

“Saya dah letih bekerja separuh mati cari duit untuk makan pakai, dan persekolahan anak-anak yang meningkat setiap tahun. Bukan seorang tapi 4 orang.  Sedangkan bekas suami sanggup bayar khidmat peguam, daripada bayar nafkah anak-anaknya sendiri.

 “Pada fikiran saya, daripada dia habiskan duit untuk bayar khidmat peguam, lebih baik dia bagi nafkah anak jadi tangung jawabntya, kecuali jika dia mati.  

“Sebenarnya kalau bekas suami itu mati pun menjadi tanggungj awab ibu bapa, adik beradik bekas suami beri nafkah anak-anak yang ditinggalkan. Tetapi biasalah orang Melayu, nama aja beragama Islam, bab bertanggung jawab anak yatim mereka tak mahu ambil peduli.  

“Tetapi kalau si mati (abangnya) tinggalkan harta, rumah, kereta dan duit ringgit, mereka dulu terjah berebut harta arwah konon demi pertahankan hak sebagai waris si mati, hingga sangup ketepikan si balu dan anak-anak yang ditinggalkan yang lebih berhak daripada mereka.  

“Berbalik kepada kes saya sudah lebih 8 tahun turun naik turun mahkamah, tetapi sesen pun bekas suami tak mahu bayar. Sebenarnya bekas suami saya memang tak bertanggung jawab dan dia memang tidak mahu bayar nafkah.  

“Buktinya bila kes Mahkamah Rayuan selesai dan dia diperintahkan bayar secara ansuran seperti mana dia sendiri yang berjanji untuk bayar, tetapi dia tak bayar. Dia tetap berdegil. Pada saya dia mahu menganiaya saya supaya saya hidup susah, menderita dan terseksa. Sedangkan sebenarnya dia menyeksa anak-anaknya sendiri yang susah dapat makan, susah pergi ke sekolah. Perbuatannya itu menyebabkan anak-anak membenci ayahnya.  

“Bagi saya yang terseksa ini, saya tak ada jalan lain, sebaliknya saya terpaksa ikut prosuder mahkamah. Saya tetap akan ke mahkamah selagi dia tak mahu bayar nafkah. Saya tetap teruskan supaya Penguatkuasaan Mahkamah terus dijalankan. Saya akan tetap bertindak mengikut peraturan dan prosedur Mahkamah Syariah.        

“Ada kawan saya bertanya, tak penat ke naik turun Mahkamah Syariah tapi nafkah tak dapat juga? Saya mengaku ,memang saya penat dan sakit hati. Bukan sahaja dengan si bekas suami, tetapi juga dengan Mahkamah Syariah yang saya dapati terlalu lembut, tunduk dan mengikut kehendak kaum lelaki yang dengan sengaja tak mahu bayar nafkah serta melewatkan keputusan mahkamah.

“Baru-baru ini saya ke Mahkamah Rayuan lagi. Seperti biasa, dia gunakan khidmat peguam. Untuk buka fail baru dia kena bayar beribu ringgit. Itu belum kira bayaran kehadiran peguam, tapi dia lebih rela bayar peguam untuk lindung diri dia daripada bayar nafkah.  

Bekas suami saya buat macam-macam helah untuk tidak membayar nafkah kepada saya dan anak-anak.

“Pada pandangan saya, Mahkamah Syariah sentiasa dipermainkan oleh bekas suami yang mahu lepaskan diri. Ini berlaku kerana Mahkamah Syariah terlalu lemah untuk bertindak dan terlalu longgar, akibatnya mahkamah dipermainkan oleh bekas suami dan kebijaksanaan peguamnya.  

“Kerana kelemahan Mahkamah Syariah jugalah maka ramai ibu ibu tunggal berhenti tengah jalan tak mahu teruskan tuntutan nafkah. Bukan kerana banyak duit, tetapi kecewa dengan Mahkamah Syariah. Mereka kehabisan duit. Sedangkan anak-anak nak makan. Mereka juga perlu duit untuk tambang bas dan teksi ke mahkamah.  

“Prosedur Mahkamah Syariah juga amat lemah. Banyak beri peluang kepada bekas suami lepaskan diri daripada bayar nafkah. Kecuali mereka yang ada kerja tetap dengan kerajaan, di mana bekas isteri boleh buat tuntutan melalui ketua jabatan dan sebagainya.  

“Namun bekas isteri mesti teruskan usaha hingga mahkamah memutuskan boleh buat tuntutan dengan potong gaji bekas suami. Sebenarnya lelaki tak mahu bayar nafkah anak, kerana dah jadi sikap mereka tidak mahu bertanggung jawab.  

“Macam kes saya, sekarang  sudah sampai ke tahap Mahkamah Rayuan. Sudah teratas dan terakhir sekali. Saya pun tak tahu apa kes selepas ini, namun saya akan terus menuggu apa lagi keputusan mahkamah, apa lagi prosedur mahkamah. Pendek kata saya akan tunggu apa lagi Mahkamah Syariah akan buat lepas ini kalau bekas suami tetap enggan bayar nafkah.

“Pada pandangan saya, sepatutnya Pejabat Peguam atau Jabatan Agama Islam kaji semula kelemahan Mahkamah Syariah, apa yang perlu diubah dan diperbaiki supaya nasib ibu-ibu tunggal yang masih tidak dapat nafkah ini dapat dibela.  

“Macam kes saya yang sudah berulang-ulang kali naik mahkamah, tentu mahkamah boleh kaji dan boleh baca perangai dan helah bekas suami yang tak mahu bayar nafkah.  

“Betul bekas suami saya bukan kakitangan kerajaan, tetapi dulu dia bekerja dan ada duit dalam KWSP. Jadi kerana dia mengaku tak ada duit, mengapa tidak potong duit KWSP bekas suami untuk bayar hutang nafkah? Kalau Singapura boleh potongan CPF, mengapa Malaysia tak boleh buat?

“Sepatutnya pegawai jabatan agama, hakim, peguam kita yang beragama Islam lebih tahu. Jangan biarkan orang Islam mati sebelum bayar hutang mereka. Begitu juga dengan bekas suami yang berhutang ini, jadi bereskan hutang mereka dengan potong simpanan KWSP mereka, sebelum mereka mati.  

“Ada yang kata kenapa tak buat waran tangkap? Macam kes saya, dah beberapa kali keluarkan waran tangkap, tetapi surat saman tak pernah sampai ke tangan bekas suami. Ada aja alasan penghantar saman gagal disampaikan. Ada yang kata, alamat tak lengkap, rumah tak berpenghui dan juga tak jumpa alamat. Pelik! Pendek kata semua memihak kepada bekas suami supaya dia tak perlu ke mahkamah dan terlepaslah daripada di jatuhkan hukuman.    

“Bekas suami saya guna peguam, dia tak pernah datang ke mahkamah dan dia biarkan peguam bereskan urusan dia. Dia cuma datang pada hari hakim menjatuhkan hukuman, dan di situ dia dan peguam berpakat membuat rayuan demi rayuan.  

Kelab Sokongan Ibu Tunggal (KSIT) mengucapkan jutaan terima kasih kepada ADUN Lembah Jaya, Selangor, YB Haniza Mohamed Talha, yang menyumbangkan RM1,000 kepada KSIT untuk kelab tersebut melaksanakan program-program membantu ibu-ibu tunggal, di pejabat beliau, Ampang Waterfront, baru-baru ini.

“Sekarang saya tunggu keputusan mahkamah terhadap bekas suami. Walaupun dah ada keputusan rayuan tapi dia masih tak mahu bayar.  Saya tak tahu apa lagi dia nak buat sedangkan keputusan Mahkamah Rayuan pun dia tetap engkar.  

“Tak tahulah apa jenis manusia lelaki ini. Harap-harap dia tak keluarkan alasan PKP punca dia tak ada kerja dan tak ada duit. Apa dia ingat dia saja mangsa PKP, saya dan ramai ibu tunggal juga mangsa PKP, tapi kami tetap bekerja cari rezeki, sebab tak mahu anak-anak mati kelaparan,’’ itu cerita Hanim dengan masalah Mahkamah Syariah dan kerenah bekas suami yang tak bertanggung jawab.  

Menjadi harapan setiap ibu ibu tunggal Mahkamah Syariah memainkan peranan lebih tegas demi masa depan anak anak mangsa perceraian yang tidak mendapat nafkah hingga kini.  

Oleh: MAIMUNAH YUSOF

—————————————————————

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/ atau ikuti media sosial rasmi UtusanTV:

Facebook: https://www.facebook.com/utusantv

Twitter: https://twitter.com/UtusanTV

Instagram: https://www.instagram.com/utusantv/?hl=en

#utusantv #urtv #mastika #saji #wanita #hijabfesyen #alislam