Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (kiri) menyerahkan surat arahan pertukaran dan pemakaian pangkat kepada Ketua Polis Daerah Bera Mansor Samsudin (dua, kanan) pada Upacara Pemakaian Pangkat Ketua Polis dan Timbalan Ketua Polis Daerah Bera hari ini. Turut kelihatan Timbalan Menteri Dalam Negeri I Datuk Seri Dr Ismail Mohamed Said (dua, kiri) dan Ketua Polis Negara Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani (kanan). --fotoBERNAMA

KEMENTERIAN Dalam Negeri (KDN) akan membincangkan isu gaji pegawai dan anggota polis dengan kementerian dan agensi berkaitan, kerana ia memerlukan kajian lebih menyeluruh, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata perbincangan itu antara lain melibatkan Kementerian Kewangan (MOF) dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), dan yakin perbincangan awal berkaitan isu itu sudah berlangsung.

“Ini perlu perbicangan mendalam kerana melibatkan kewangan,” katanya ringkas pada sidang media selepas menghadiri Upacara Pemakaian Pangkat kepada Ketua Polis Daerah Bera Supt Mansor Samsudin yang dinaikkan pangkat daripada DSP, di Dewan Sri Kempas, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bera di Bera, Pahang hari ini.

Upacara disempurnakan Ketua Polis Negara Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani. Turut dinaikkan pangkat ialah Timbalan Ketua Polis Daerah Bera DSP N. Kumaran yang sebelum ini memakai pangkat ASP.

Ismail Sabri berkata demikian semasa diminta mengulas laporan media baru-baru ini, bahawa kadar gaji dan elaun polis terutamanya yang berpangkat rendah menjadi punca polis berhadapan masalah termasuk hutang dan difahamkan semakan terakhir gaji polis dibuat pada tahun 2010.

BERITA BERKAITAN Gaji pokok Ketua Polis Republik Indonesia RM1,700, elaun RM 13,000

Sementara itu, Ismail Sabri merakamkan penghargaan kepada polis yang cemerlang melaksanakan tugas sebagai pasukan barisan hadapan pandemik COVID-19 tanpa mengira waktu, meskipun dalam kesibukan melaksanakan tugas hakiki menjaga keselamatan negara.

Selain itu, lebih 150,000 penduduk Bera menerima berita gembira hari ini apabila Ismail Sabri yang juga Anggota Parlimen Bera mengumumkan pembinaan beberapa balai dan pondok polis baharu, serta menambah baik balai sedia ada di beberapa lokasi strategik demi keselamatan penduduk selari dengan keperluan semasa.

Ini termasuk pembinaan balai dan pondok polis baharu di gugusan Felda Tembagau, Charuk Puting, Felda Bukit Mendi dan Bera Selatan, yang ketiadaan pondok polis menyebabkan penduduk sekitar perlukan sejam untuk tiba di balai polis berhampiran.

Ia juga selaras dengan kenaikan IPD Bera daripada gred C kepada gred B, yang antara lain membolehkan pertambahan jumlah keanggotaan daripada 300 orang kepada lebih 400 orang, yang dilihat sesuai dengan keluasan daerah itu yang hampir menyamai Melaka.

Peruntukan lebih RM2 juta juga diumumkan perdana menteri bagi projek penambahbaikan, antaranya pondok polis dan kuarters Triang, IPD Bera, balai polis Kuala Bera, balai polis Mengkarak, balai polis dan kuarters Kemayan, Bandar 32 serta Felda Mayam.

“Pertambahan anggota dan kewujudan balai baharu serta penambahbaikan yang dilakukan akan memberikan keyakinan kepada penduduk Bera dalam aspek keselamatan, selain membaiki kualiti perkhidmatan yang diterima rakyat,” katanya.

— BERNAMA

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram