PADA Rabu, 13 Oktober 2021, beberapa orang panel pemikir dalam kalangan Komuniti Kewangan dan Pasaran Modal Islam @ MPM mengadakan randau dalam talian, membincangkan hasrat kerajaan, seperti mana terkandung di dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12), untuk mewujudkan Jaringan Keselamatan Ekuiti Bumiputera (Bumiputera Equity Safety-net System).
Nawaitu kerajaan menubuhkan fraterniti ini antara lain ialah bagi mengekang kemerosotan pegangan atau pemilikan ekuiti bumiputera, sama ada milik individu, menerusi institusi pelaburan atau institusi bisnes kepentingan bumiputera.
Turut diundang menyertai randau ini ialah Presiden DPMM, Halim Husin manakala Zainal Ariffin Osman dan Hani Ikhwan mewakili Persatuan Remisier Bumiputera (PRIBUMI).
Dimudahkan cerita, randau ini ibarat berbicara bagaimana boleh terjadi, ayam di kepuk mati kelaparan.
Randau itu turut:
● Menyorot sejarah silam kedudukan ekonomi dan kewangan bumiputera secara keseluruhannya, bagi mencari jawapan mengapa setelah sekian lama merdeka, bumiputera masih ibarat ayam di kapuk mati kelaparan dan kerajaan terpaksa menubuhkan fraterniti seperti ini, bukan untuk ‘ayam’ itu kenyang hingga terik temboloknya, tapi sekadar agar ‘tidak kelaparan’;
● Menilai mengapa ada sesetengah pihak, termasuk dalam kalangan cerdik pandai bumiputera itu sendiri yang begitu kritikal sekali terhadap hasrat kerajaan ini;
● Berbicara mengenai permasalahan yang sekian lama merencatkan usaha pemilikan ekuiti dalam kalangan bumiputera.
● Kemukakan hujah menjustifikasikan penubuhan fraterniti berkenaan serta saranan caranya berfungsi, agar kesilapan dan kealpaan silam tidak berulang.
Alang-alang menyeluk pekasam, biarlah ke pangkal lengan.
Hatta, panel ini juga mengambil kesempatan menyarankan kepada kerajaan betapa perlunya dasar-dasar ekonomi atau pembangunan yang digubal sebelum ini disemak semula bagi menghasilkan satu order pembangunan dan kemakmuran baharu, sebagai Dasar Induk Negara, konsisten dengan Perlembagaan Persekutuan. Ia bagi memastikan misi kerajaan menguncupkan jurang kemakmuran dapat dicapai dan kesejahteraan dapat dinikmati oleh rakyat Malaysia secara adil dan saksama, konsisten dengan semangat Keluarga Malaysia.
Ekonomi dan Kewangan Bumiputera Pra Merdeka
Tatkala orang Melayu beria-ia menentang penubuhan Malayan Union dan menuntut kemerdekaan, secara halus pemerintah British melakukan strategi “pecah dan perintah”. Blok kapitalis mereka sudah bersekongkol dengan saudagar asing untuk kepong, kaut dan kuasai sektor ekonomi dan kewangan negara. Pada masa yang sama, blok kayangan Melayu cuba dipisahkan daripada rakyat, malah ada di antara mereka yang sudah pun setuju pembentukan Malayan Union. Mujurlah ia tidak menjadi kenyataan.
Penentangan orang Melayu ketika itu berbentuk “gerakan”. Ia amat longgar. Akhirnya tertubuhlah UMNO sebagai platform untuk Melayu bersatu menuntut kemerdekaan.
Kecekalan dan ketegaran blok kapitalis memastikan agar sampai akhir zaman sekalipun bangsa Melayu tak akan dapat menguasai ekonomi dan kewangan di negara ini, diatur kemas dan terancang. Apa juga usaha dalam kalangan bangsa Melayu untuk mengembalikan zaman kegemilangan nenek moyang mereka menguasai perdagangan di rantau nusantara ini, dipastikan tidak akan berhasil. Ini termasuklah peristiwa menyayat hati pembunuhan Maarof Zakaria, orang Melayu yang berusaha menubuhkan The First Malay National Bank, hanya kerana bank ini akan memudah cara usahawan Melayu memperolehi sumber dana bagi menceburi bisnes. Banyak lagi yang boleh diceritakan. Memadailah satu cerita ini sebagai imbasan sejarah.
Dalam rencana ini tidak disentuh berulang-ulang kali akan keganasan dan kekejaman blok ini dalam usaha mereka mengekalkan misinya, dalam pelbagai cara yang halus dan terancang, sehinggakan ada dalam kalangan bangsa Melayu itu sendiri bersekongkol dengan mereka. Mereka bermuka-muka kononnya juara agenda bumiputera.
Baca artikel berkaitan: Ke mana adab Melayu?
Ekonomi dan Kewangan Bumiputera Pasca Merdeka
Untuk orang Melayu perolehi kemerdekaan disyaratkan oleh pemerintah British agar dikendong bersamanya lain-lain kaum yang sudah bermastautin di negara ini, sebagai rakyat. Akur dengan syarat itu maka Perlembagaan Persekutuan digubal oleh pemerintah ini untuk ditelan oleh bangsa Melayu. UMNO yang baru setahun jagung, mewakili kepentingan Melayu, cuba menghalang raja-raja Melayu memeterai perjanjian pada 5 Ogos 1957 dari menerima deraf Perlembagaan Persekutuan itu. Banyak peruntukan didalamnya yang tidak memihak kepada orang Melayu.
Sekali lagi strategi “pecah dan perintah” digunakan pihak British. Sebagai kompromi, katanya, raja-raja Melayu menukilkan Wasiat Raja-Raja Melayu, sebagai kolateral kepada Perlembagaan Persekutuan itu. UMNO setuju dan mengizinkan perjanjian itu dimeterai di antara raja-raja Melayu dengan pemerintah British.
Realitinya, wasiat itu tidak pernah diwartakan, maka ia tidak pernah dikuatkuasakan. Jelasnya, orang Melayu diperdayakan dengan wasiat itu. Hingga kini pun UMNO belum pernah menuntut wasiat itu diwartakan dan dikuatkuasakan pelaksanaannya. Malah UMNO sendiri semasa menguasai kerajaan pun tidak ambil peduli akan wasiat itu.
Dek kealpaan itu, orang Melayu bertempik sorak melaungkan kemerdekaan dalam kepapaan.
Terbentuknya Persekutuan Tanah Melayu, pimpinan Perikatan yang didepani UMNO, adalah sebuah negara yang teramat miskin. Betul, dapat memerintah negara tapi dalam serba kedaifan. Kekayaan negara ketika itu adalah milik asing, yang telah dicengkam sekuat-kuatnya oleh blok kapitalis Barat + Timur.
Namun, cita-cita kerajaan Perikatan amat besar. Maka digubal Rancangan Pembangunan Berpenggal, setiap penggal untuk tempoh lima tahun. Bermulalah RMK-1 1966-1970 yang digubal di bawah pengaruh blok kapitalis. Hasilnya, RMK-1 itu bermodelkan ekonomi pasaran terbuka, tatkala orang Melayu masih belum lagi kenal apa itu bisnes, ekonomi dan kewangan. Orang Melayu yang merdeka masih lagi “kais pagi makan pagi, kais petang belum tentu dapat makan”.
DEB 1970
Menyedari jurang yang semakin melebar dan majoriti bumiputera terperangkap dalam putaran ganas kemiskinan, DEB 1970 digubal melawan arus model ekonomi RMK-1.
Bagi mencapai dua matlamat utama dasar itu (membasmi kemiskinan dan menguncupkan jurang kekayaan), tiga reras utama DEB ditetapkan:
● Pewujudan Peluang Pekerjaan
● Pewujudan Peluang Bisnes, dan
● Pewujudan Peluang Pemilikan Ekuiti
Revolusi Mental
Kerajaan sedar, sekadar menyajikan bumiputera dengan pembangunan fizikal ia tidak menjamin keberkesanan dan kemampanan dasar itu. Lantas, digandingkan ia dengan gerakan revolusi mental. Nawaitu gerakan itu ialah untuk membina kekentalan minda bumiputera berjuang menyejahterakan diri mereka. Makanya dihasilkanlah buku Revolusi Mental sebagai panduan dan rujukan kepada gerakan revolusi mental yang dicanangkan itu.
Malangnya ada pihak yang sabotaj usaha menjadikan gerakan revolusi mental itu sebagai “kembar siam” kepada DEB 1970. Penyudahnya bumiputera hanyut dan tidak dapat menghayati agenda tersurat dan tersirat, terkandung di dalam DEB 1970. Dalam konteks revolusi minda atau mental ini, bumiputera wajar mempersalahkan diri sendiri kerana menerima manfaat DEB 1970 tanpa roh. Itu sebabnya kejayaan DEB 1970 itu amat singkat usianya, punah dirosakkan dan dibaham oleh singa-singa ganas dalam kalangan bumiputera itu sendiri. Penyudahnya, “ayam di kepuk terus kelaparan”.
– Pewujudan Peluang Pekerjaan
Di samping pembesaran kementerian dan jabatan sedia ada, kerajaan menubuhkan banyak agensi separa kerajaan (public-enterprise agencies, PEA) terutamanya SEDC. Kemudiannya di era 1990-an, ditubuhkan pula banyak GLC. Misinya bagi menggajikan seramai mungkin bumiputera.
Hasrat pewujudan peluang pekerjaan tercapai. Tapi, minda pekerja ini tidak diasuh sebaik mungkin untuk menghayati apakah matlamat menggajikan mereka bekerja di setiap PEA, GLC dan lain-lain itu. Bab asuhan minda ini gagal, sebab gerakan revolusi mental itu terhalang. Ya, ramai penjawat awam dan pengurus korporat bumiputera, tapi majoriti mereka itu “ibarat buih di lautan”. Pencapaian teras DEB 1970 ini berjaya di satu sudut tapi gagal di banyak sudut.
– Pewujudan Peluang Bisnes
Hasrat pewujudan peluang bisnes kepada Komuniti Ekonomi Bumiputera (KEB) melalui pewujudan begitu banyak kementerian, jabatan, agensi, PEA, GLC dan lain-lain gagal.
Banyak punca kegagalan. Salah satu darinya ialah kerana keghairahan ramai penjawat awam, pengurus korporat dan pemimpin politik yang “menguasai” PEA, GLC itu. Apa yang terjadi, majoriti PEA, GLC dan lain-lain ini gila menubuhkan ratusan anak syarikat (internal spin-off) yang bersaing dengan KEB, walhal, mereka sepatutnya menaungi KEB itu sebagai vendor dan sebagainya.
Sebabnya jadi begitu ialah kerana KPI, mandat dan asuhan yang diberikan kepada kepimpinan dan pengurusan PEA, GLC itu hanyalah untung rugi semata-mata. Langsung tiada asuhan melalui Program Revolusi Mental, kerana program itu telah dibantutkan.
Penyudahnya, pegawai kanan kerajaan, pengurus kanan PEA/GLC dan sukubsakat politik bina jalan pintas untuk mereka sendiri raih manfaat menerusi penerimaan elaun dan bonus pengarah di dalam anak-anak syarikat itu.
Realitinya, berlakulah begitu banyak insiden “pembunuhan” PMKS Bumiputera oleh PEA, GLC dan lain-lain ini, ibarat “ikan haruan makan anak”.
Betapa tidak malunya kepimpinan kita sendiri (terutama kementerian, agensi, PEA & GLC) sehinggakan ramai anak bangsa sendiri yang terpaksa berrhijrah ke negara luar, membangunkan bisnes mereka dan kembali meneroka pasaran tempatan, atas nama syarikat asing. Barulah mereka diterima kerana mereka ini telah berjaya sebagai pemain global. Memang aneh!
Andai kata, kesemua PEA dan GLC ini ikhlas dan KPI serta misi mereka jelas, kejayaan beberapa program, seperti Program Vendor Petronas boleh dijadikan kayu pengukur dan bukti bahawa teras kedua DEB 1970 ini adalah sesuatu yang realistik.
Maka disimpulkan di sini bahawa teras DEB dalam pewujudan peluang bisnes kepada KEB juga gagal. Di era MBE 2010, ditubuhkan pula MAB dengan TERAJU sebagai sekretariatnya. Ia sekadar usaha kosmetik bagi terus mengaburi mata bumiputera. Kita semua boleh menilai secara terbuka akan hasilnya setelah lebih sedekad ditubuhkan. Dimudahkan cerita, mereka akan mempersalahkan KEB kononnya terlalu bergantung kepada “tongkat”. Itulah satu-satunya modal mereka untuk mudah mempersalahkan KEB.
– Pewujudan peluang pemilikan ekuiti
Pemimpin Melayu yang berjiwa kental melancarkan DEB 1970, insaf akan kekurangan yang ada pada bangsanya. Beliau sedar, bumiputera wajib miliki aset berbentuk ekuiti kerana pemilikan aset tangible bukan kewangan, terutama tanah dan hartanah sudah habis dibolot oleh blok kapitalis Barat + Timur.
Hatta, disasarkan untuk bumiputera miliki minimum 30 perstua ekuiti di pasaran modal negara. Pemilikan ekuiti ini juga ada banyak fungsi dan misi lain, bukan sekadar ekuti sebagai aset saja. Misalnya, penguasaan pasaran modal juga ada kaitan dengan kedapatan dana untuk pengembangan dan pembesaran bisnes selain daripada dana pinjaman.
DEB, Pasaran Modal dan Pemilikan Ekuiti Bumiputera
Sejak era DEB 1970 itu lagi banyak usaha dilakukan untuk bumiputera memiliki ekuiti. Di antara usaha itu termasuklah:
i. Pendidikan pasaran saham bagi mencelikkan bumiputera mengenai kepentingan dan manfaat pemilikan ekuiti dan lain-lain bentuk aset kewangan;
ii. Penguasaan PLC menerusi pemilikan ekuitinya yang diapungkan di pasaran modal;
iii. Penubuhan PNB dan pelaburan dalam ASN, sebagai institusi pelaburan bumiputera, yang antara lainnya, melabur di pasaran modal;
iv. Dasar Penswastaan. Dasar yang bagus nawaitunya tapi dicacatkan oleh agenda tersirat beberapa kerat pemimpin Melayu yang mencemari dasar ini. Hasilnya merugikan bumiputera dan pencemaran ini digunakan oleh banyak pihak mempersalahkan bumiputera;
v. Penguasaan MNC
vi. Penawaran saham pra IPO
vii. Penyenaraian mid-tiers corporations milik bumiputera
viii. Lain-lain
Dalam tempoh 20 tahun pertama perlaksanaan DEB 1970, misi pemilikan ekuiti ini hampir tercapai. Malangnya pemimpin Melayu ketika itu mudah lupa, maka dipendekkan riwayat DEB 1970 itu.
Pemilikan Ekuiti Bumiputera Dicemari
Oleh kerana jangka hayat DEB 1970 itu dipendekkan, kejayaan usaha pemilikan ekuiti bumiputera itu juga pendek hayatnya. Misi pemilikan ekuiti bumiputera yang suatu ketika dulu sudah hampir mencapai sasarannya, kembali menyusut.
Di antara punca utama penyusutan itu bukan dosa blok kapitalis Barat + Timur, tapi dosa tangan-tangan hitam dalam kalangan bumiputera itu sendiri, terutama:
i. Dasar Penswastaan dicemari dengan penjualan syarikat-syarikat yang diswastakan kepada bumiputera, berpindah-l milik kepada pihak lain;
ii. Kejayaan PNB melakukan “dawn raid”, menguasai pemilikan MNC secara belian di pasaran terbuka, gagal diulangi. Di era MBE 2010 (Model Baru Ekonomi) kerajaan menubuhkan Ekuinas, untuk memperkasakan lagi misi pemilikan ekuiti. Ia gagal teruskan misi DEB itu kerana KPInya dan roh para pengurusan kanan serta lembaga pengarahnya tidak sama dengan di era 1970-an.
Ringkasnya, Ekuinas gagal melaksanakan fungsinya.
iii. Syarikat-syarikat bumiputera yang ditawarkan saham pra IPO dipersalahkan kerana melepaskan pemilikan saham tersebut di pasaran terbuka. Tidak pernah dikaji apakah permasalahan yang memaksa atau mendorong mereka berbuat demikian.
iv. Kepayahan mid-tier corporations baharu milik bumiputera untuk disenaraikan kerana adanya lompang (vacuum) di sepanjang rantaian nilal pasaran modal yang tidak di”kuasai” oleh agensi-agensi kepentingan bumiputera, terutama dalam perundingan dan pembiayaan penyenaraian.
v. Kekecewaan pemilik unit saham amanah di ASN sebab dana mereka dilaburkan bagi membiayai bisnes yang tidak manfaatkan KEB, hanya kerana KPI para pengurus dana ini ialah ROI semata-mata.
Paparan dalam dokumen RMK-12 seperti mana terkandung dalam perenggan 66 nota pembentangan RMK-12 oleh Perdana Menteri di Parlimen, adalah seperti berikut:
✔ Pegangan Bumiputera 17.2 %
✔ Pegangan bukan Bumiputera 25.0 %
✔ FDI 45.5%
✔ Nominees 12.3%
Awal tahun ini MPM, menerusi JKK KEB 1 1965-2020, dapatkan fakta yang lebih jelas mengenai Pasaran Modal Malaysia, seperti berikut:

Data-data ini tidak mengambilkira pemilikan ekuiti dalam syarikat-syarikat persendirian dengsn bilangan PMKS milik bumiputera jauh lebih rendah berbanding bukan bumiputera.
Hakikatnya, dalam keadaan semasa pun PLC milik atau dikuasai bumiputera amat jauh tercicir, dari semua segi; nilai pasaran modal, bilangan dan saiz PLC yang dimilikinya.
Agensi-agensi Kosmetik Agenda Bumiputera
Dek kuatnya desakan menolak perlaksanaan MBE 2010-2020, yang dilancarkan pada 30 Mac 2010 yang cuba kembali ke model ekonomi pasaran terbuka, semasa pelancaran RMK-10, pada 10 Julai 2020, kerajaan membuat “u-turn” dengan menubuhkan tiga agensi meneruskan perlaksanaan tiga teras utama DEB 1970:
● TalentCorp bagi mewujudkan peluang pekerjaan;
● Ekuinas bagi mewujudkan peluang pemilikan ekuiti, dan
● MTAB bagi memperbanyakkan peluang bisnes dalam kalangan KEB
Realitinya, begitulah cara pemimpin Melayu bermain politik dalam melaksanakan Agenda Bumiputera. Kesemuanya hanyalah hidangan kosmetik.
Di saat ini, tidak lagi kedengaran TalentCorp dengan Agenda Pekerjaan Bumiputeranya. Ia adalah agensi nasional untuk semua.
Di saat ini tidak kedengaran lagi MTAB yang pada 14-9-2013 dijenamakan sebagai MAB (Majlis Agenda Bumiputera), menjuarai Agenda Ekonomi Bumiputera. Sesekali terdengarlah Sekretariat Tetapnya, TERAJU “main pondok-pondok” di sana sini.
Ekuinas pula, yang bermula dengan dana yang besar, tidak nampak banyak mana ekuiti bumiputera telah dipertingkatkan, jika nak dibandingkan dengan usaha magik PNB. Yang kedengaran hanyalah usaha penstrukturan ekuiti yang ibarat perpindahan pemilikan “left pocket to right pocket”. Impaknya, pemilikan ekuiti bumiputera terus menguncup dari semua segi, bukan sekadar peratusan saja.
– Misi Kekang Kesusutan
BEqS kaji dengan mendalam kemampuan pegangan ekuiti bumiputera dan menangani punca penyusutannya.
Di antara tindakan yang wajar dilakukan ialah bagaimana fraterniti ini mampu menawarkan pembelian ekuiti secara “first right refusal” kepada mana-mana bumiputera yang ingin melupuskan pegangan ekuitinya, dalam mana-mana PLC, atas apa jua alasan. Kemudiannya kelak, ia lupuskan ekuiti itu kepada mana-mana bumiputera atau institusi kepentingan bumiputera lain yang berkemampuan mengambilalih ekuiti-ekuiti tersebut.
– Misi Penyelamat
Dengan sifatnya begitu dengab pasaran modal adalah volatile, akan ada ketikanya sesuatu PLC itu akan alami kejatuhan nilai pasaran. Dalam keadaan sedemikian, BEqS ini atas nasihat atau persetujuan kerajaan, lakukan usaha mengambilalih ekuti yang terpaksa dilupuskan demi menyelamatkan PLC milik/dikuasai bumiputera itu.
– Misi “Dawn-raid”
Kepimpinan dan pengurusan BEqS ini wajib memiliki integriti, amanah, kebijaksanaan dan keberanian luar biasa mengulangi sejarah “dawn raid” dengan kaedah dan strategi berlainan, bagi terus memiliki PLC strategik, termasuk dalam kalangan MNC.
– Misi Pengembangan
Banyak peranan yang wajar dimainkan oleh BEqS dalam memudahcara penyenaraian lebih banyak mid-tiers corporations milik bumiputera. Ini termasuklah menyediakan dana bagi urusan penyenaraian atau pembelian ekuiti semasa penyenaraian, bagi menyuntik sentimen market capitalization.
- Misi Didikan dan Latihan
Misi mendidik masyarakat bumiputera untuk melabur dalam pasaran modal dan memperbanyakkan institusi pelaburan pasaran modal Islamik adalah juga diantara fungsi dan mandat baharu bagi BEqS ini.
- Misi Penetapan Pelaburan
Adalah juga menjadi tanggungjawab BEqS untuk memastikan dana pelaburan yang terkumpul dalam mana-mana institusi pelaburan bumiputera dilaburkan atau untuk dimanfaatkan oleh syarikat-syarikat bumiputera bagi dikembangkan dan akhirnya disenaraikan.
- Misi Perlindungan Pelaburan dan Perdagangan
Dengan globalisasi sebagai order bhaaru yang tidak mampu dikawal oleh Malaysia sebagai Negara kerdil, amat perlu ada agensi atau institusi kerajaan yang mampu mendepani dan menjuarai Agenda Pelaburan Bumiputera secara langsung atau tidak langsung. Ini termasuklah peningkatan kapasiti dan keupayaan bersaing dalam kalangan KEB untuk kekal kompetitif di pasaran global, malah di pasaran domestik yang sudah pun terdedah kepada gelombang globalisasi, termasuk ratifikasi beberapa FTA.
– Lain-lain Fungsi dan Misi
Pastinya ada banyak lagi fungsi dan misi yang boleh dipertanggungjawabkan kepada BEqS bagaimana ekuiti milik bumiputera boleh diperbesarkan, tanpa menyentuh hak dan kepentingan lain-lain pihak. Malah, peranan BEqS ini juga hendaklah diperkasakan bagi membolehkan ia menjuarai Agenda Pelaburan Bumiputera sebagai FDI di beberapa pasaran modal asing yang strategik. Maknanya, BEqS juga turut melakukan anjakan paradigma untuk mengajak bersamanya para pelabur bumiputera keluar dari kepompong pelaburan di pasaran domestik. Norway telah melakukan dengan jayanya, mengapa kita tidak?
Cabaran Order Baharu
Malangnya apabila ada dalam kalangan pemimpin politik, penjawat awam, pengurusan korporat dan NGO bumiputera yang menginsafi akan malapetaka yang menimpa bumiputera akan penyusutan pegangan ekuiti ini, mereka berdepan pula dengan satu perang persepsi baharu. Peperangan persepsi order baharu ini menyerang dari banyak sudut.
Jika serangan persepsi negatif ini datangnya dari puak-puak cauvinis, ia adalah sesuatu yang dijangka. Sedihnya, ialah apabila serangan persepsi dan manipulasi ini turut dicetuskan oleh pemimpin politik dan cerdi -pandai Melayu generasi muda, yang menggunakan kedudukan atau kepakarannya memanipulasi hasrat murni, seperti penubuhan fraterniti jaringan keselamatan ekuiti ini. Tindakan mereka itu turut diambil kesempatan oleh puak-puak cauvinis yang tegar, yang ingin memastikan “ayam di kepuk akan terus kebuluran”. Inilah bahananya apabila negara yang begini majmuk rakyatnya dari banyak aspek, gagal ditarbiahkan untuk bersedia menjadi sebahagian dari Keluarga Malaysia yang aman, makmur dan sejahtera secara adil dan saksama.
Order Baharu Pembangunan Kemakmuran Negara
Bumiputera sebagai kelompok majoriti tidak boleh menyerah bulat-bulat kepada nasib. Bumiputera wajib memiliki minda “superior” yang berkeupayaan tinggi mencipta peluang dan kebijaksanaan, di samping menangkis serangan persepsi dan manipulasi.
Teladanilah bagaimana UAE menggubal perlembagaannya bagi melindungi hak dan kepentingan 22 perstus Emiratees sebagai rakyat UAE, manakala selebihnya paling layak sekadar sebagai PR, sekalipun telah berpuluh keturunan bermastautin di UAE. Pemerintah mereka bukan sekadar berani menguatkuasakan undang-undang yang memperkasakan hak dan kepentingan bangsanya, mereka ada kebijaksanaan bagaimana memajukan negara mereka untuk manfaat bangsanya. Diantara teladan yang boleh kita pertimbangkan termasuklah pelan pembangunannya yang diketahui umum akan kejayaannya iaitu DGEP (Dubai Government Excellence Program).
Alang-alang menyeluk pekasam, biarlah ke pangkal lengan. Alang-alang merangka pembangunan dan kemakmuran order baharu, guballah satu dasar yang konsisten dengan Perlembagaan yang kini banyak pihak cuba mencuitnya untuk dipinda.
Bumiputera sudah letih mengadu.
Aduan Bumiputera ibarat “mencurah air ke daun keladi”
Bumiputera akan berhenti mengadu.
Sebaliknya, Bumiputera tidak akan lagi jadi bangsa yang apologetik. Bumiputera akan bangkit sebagai bangsa yang “superior”, di samping kehadirannya sebagai majoriti berstatuskan pribumi.
Sudah ditakdirkan begitu sifatnya, Bumiputera akan kekalkan sifat-sifatnya yang sentiasa berlaku adil dan saksama dengan semua.
Hendaknya penubuhan Jaringan Keselamatan Ekuiti Bumiputera ini tidak meneladani atau ulangi Ekuinas yang gagal.
Hendaknya perang persepsi yang disengajakan dihentikan jika semua pihak ikhlas menjulang slogan Keluarga Malaysia.
Artikel ini ditulis oleh Panel Pemikir, Komuniti Kewangan dan Pasaran Modal Islam @ MPM
Datuk Dr. Hasan Mad
Dr. Salihin Abang
Prof Datuk Mohd Yusof Kasim
Prof Emeritus Dr. Barjoyai Bardaie
Prof Datuk Seri Dr. Zabid Abd. Rashid
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

