PELAKON Fauzi Nawawi memohon maaf secara terbuka kepada Raja Farah dan suami susulan penularan video membabitkan perkongsian cerita babak rogol dalam filem Anak Halal ketika menjadi tetamu dalam program televisyen.

Menurut Fauzi, program berkenaan telah lama disiarkan dan dia tidak tahu tujuan sebenar mengapa video tersebut kembali ditularkan di laman sosial Twitter.

“Saya nak memohon maaf pada semua yang terkesan dengan video ini khususnya kepada Raja Farah, suami dan juga seluruh keluarga.

“Saya pun tak tahu apa perkara sebenarnya yang netizen marah sangat pada saya sampai sanggup maki, hantar mesej yang bukan-bukan di DM, Twitter semua maki, b**i, celaka. Alhamdulillah saya terima dengan lapang dada. Saya terima dengan tenang walaupun kusut juga memikirkan,” katanya.

Tambah Fauzi, sebaik selesai rakaman, dia telah meminta pihak produksi untuk memotong bahagian yang sensitif sewaktu rakaman program tersebut berlangsung.

“Sebab kami bersembang antara lelaki. Memang salah saya bila bersembang tak kawal cakap, terlepas cakap dan terlepas nama Raja Farah. Sebenarnya mereka tanya pengalaman watak yang saya pernah pegang. Kalau diceritakan watak 13,14 tahun dulu, watak begitulah.

“Perompak, penjahat, perogol itulah watak yang sinonim dengan saya. Jadi bila dah terlepas cakap, habis rakaman saya tersedar yang bahawa ada benda yang patut dipotong, yang disensorkan supaya tak ditayangkan.

“Saya mengaku memang salah saya, saya jahil, memang saya tak baik tapi saya sedang memperbaiki diri saya untuk jadi lebih baik. Kepada yang amat sensitif yang terkesan dengan video ini, sudah tentu suami kepada suami Raja Farah, saya mohon maaf daripada hujung rambut sampai hujung kaki.

“Memang saya tiada niat langsung memalukan. Pada Raja Farah sendiri dan juga keluarga, saya minta maaf dan saya tak mahu lagi perkara ini dipanjangkan,” katanya.

Kontroversi tersebut sebelum itu telah mendapat respon daripada Raja Farah dan suami yang menganggap perkara tersebut sesuatu yang memalukan.

Suami Raja Farah iaitu Iskandar Ismail menyifatkan penyiaran program tersebut salah di setiap sudut dan tidak menjaga aib serta kehormatan wanita.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram