GABUNGAN Parti Sarawak (GPS) akan bertanding di kesemua 82 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Perkara itu disahkan Setiausaha Agung GPS, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dalam kenyataan hari ini.
Menurut Alexander, tiada rundingan melibatkan pembahagian kerusi antara gabungan itu dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pernah atau akan diadakan.
Sehubungan itu, kata beliau, laporan beberapa media mendakwa beliau menyatakan bahawa GPS akan berunding dengan Bersatu sebagai mesej salah.
“Merujuk laporan media mengenai dakwaan saya telah mengesahkan terdapat rundingan pembahagian kerusi antara GPS dan Bersatu bagi menghadapi PRN Sarawak Ke-12, saya ingin menafikan pernah memberikan kenyataan sedemikian.
“Apa yang berlaku sebenarnya, pada sidang akhbar yang diadakan pada 21 Oktober, saya telah ditanya mengenai kerusi Bersatu di Sarawak iaitu DUN Krian yang dipegang Datuk Ali Biju.
“Sebagai respons kepada soalan itu, saya hanya menyatakan bahawa kedudukan kerusi Krian akan dibincangkan oleh GPS dengan jawapan yang diberikan tidak merujuk kepada mana-mana kerusi DUN lain,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Baca artikel berkaitan: Agong isytihar Proklamasi Darurat 6 bulan di Sarawak, tangguh PRN hingga 2 Februari
Mengulas lanjut, Alexander berkata, GPS tidak akan memberi sebarang kerusi kepada mana-mana parti lain.
“Saya kecewa dengan tindakan segelintir media yang ‘memasukkan kata-kata ke dalam mulut saya’ untuk mensensasikan isu pembahagian kerusi sempena PRN Sarawak.
“Dengan penjelasan ini, saya berharap semua pihak mendapat fakta yang sebenar dan tiada lagi sebarang isu mengenainya yang berbangkit,” jelas beliau.
Ali memenangi kerusi DUN Krian atas tiket PKR dalam PRN Sarawak ke-11 pada tahun 2016, namun telah menyertai Bersatu.
DUN Sarawak sepatutnya terbubar pada 7 Jun lalu namun PRN tidak dapat dilaksanakan kerana tertakluk kepada Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) 2021 sehingga 2 Februari 2022.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

