PENJAWAT awam Gred 56 ke bawah akan menerima Bantuan Khas Kewangan sebanyak RM700.
Sementara itu, pesara kerajaan pula bakal menerima RM350.
Perkara itu dimaklumkan Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz pada pembentangan Bajet 2022 di Dewan Rakyat hari ini.
Menurutnya, pemberian bantuan khas itu melibatkan 1.3 juta penjawat awam dan 1 juta pesara.
Kata beliau, bantuan ini memberi implikasi kewangan sebanyak RM1.3 bilion.
“Bagi menghargai jasa dan pengorbanan penjawat awam dalam menggalas tanggungjawab menyampaikan perkhidmatan kepada rakyat terutamanya semasa negara mengharungi tempoh yang penuh cabaran ini, Kerajaan mengumumkan
Bantuan Khas Kewangan kepada 1.3 juta penjawat awam Gred 56 dan ke bawah sebanyak RM700 ringgit dan 1 juta pesara Kerajaan sebanyak RM350 dengan implikasi Kewangan sebanyak 1.3 bilion ringgit.
“Diharapkan semoga bantuan ini dapat menjadi pemangkin kepada penjawat awam untuk terus berkhidmat dengan
penuh dedikasi,” katanya.
Sementara itu, kata Tengku Zafrul, dalam menangani krisis COVID-19, ramai penjawat awam terutamanya barisan hadapan tetap komited kepada tugasannya dan antaranya tidak berpeluang bercuti.
Baca artikel berkaitan: Bajet 2022 ada faktor Wow, penjawat awam tidak dilupakan
Justeru, katanya, bagi mengiktiraf pengorbanan tersebut, sukacita diumumkan gantian cuti rehat dinaikkan daripada maksimum 150 hari kepada 160 hari.
“Di samping itu, Kerajaan juga akan melaksanakan kemudahan membenarkan penebusan awal GCR sehingga 50 peratus atau 80 hari.
“Kemudahan ini mengambil kira keperluan penjawat awam seperti menunaikan haji atau membiayai pengajian tinggi anak,” jelasnya.
Tengku Zafrul dalam ucapannya merakamkan penghargaan buat penjawat awam kerana sejak COVID-19 mula membarah di tanah air, penjawat awam ialah perawatnya yang setia; yang menatang semua warga Malaysia bagai sebuah keluarga, tanpa jemu dan leka.
“Dalam mengharungi episod duka ini, anggota barisan hadapan, juga disambut keringat sukarelawan telah sama-sama menjayakan setiap agenda Kerajaan dengan berkesan. Terima kasih, terima kasih, terima kasih kami ucapkan,” katanya.
Beliau pada masa sama mengumumkan bayaran insentif RM200 kepada Pembantu Pembangunan Masyarakat Gred S19 dan Pembantu Perawatan Kebajikan Gred U11 dan U14 yang bertugas di 24 institusi kebajikan.
Pemberian ini susulan jasa dan pengorbanan mereka yang terlibat secara langsung dalam perkhidmatan menjaga dan merawat penghuni warga emas, OKU dan pesakit
mental.
Perkara itu kata Tengku Zafrul, sebahagian daripada cadangan kerajaan untuk menambah baik beberapa kemudahan anggota perkhidmatan awam yang antara lain menurunkan kadar keuntungan skim pembiayaan komputer dan telefon pintar untuk penjawat awam daripada 4 kepada 2 peratus.
Selain itu, kerajaan akan memperuntukkan RM365 juta antaranya bagi menyelenggara kuarters dan bangunan guna sama di bawah seliaan Bahagian Pengurusan Hartanah;
“Meneruskan inisiatif Perlindungan Kemalangan Diri sehingga RM100 ribu untuk manfaat 40,000 peminjam baharu LPPSA.
“Skop perlindungan ini akan diperluas dengan penambahan tiga jenis perlindungan baharu merangkumi hilang upaya separa, sebahagian dan kekal, badal haji serta perbelanjaan pemulihan kecederaan disebabkan kemalangan,” ujarnya.
Katanya, inisiatif lain meningkatkan Kadar Bayaran Insentif Pengawasan Banduan daripada RM150 kepada RM200 sebulan yang bakal memanfaatkan lebih 14,000 pegawai penjara.
“Sebagai tambahan, elaun ini juga dipanjangkan kepada 775 pegawai kader di institusi penjara yang terlibat dalam tugas pengawasan banduan.
“Kelima: Meningkatkan Elaun Penugasan Sukarelawan Simpanan Polis (atau PVR) daripada RM7.80 kepada RM9.80 sen sejam untuk pegawai; dan daripada RM6 kepada RM8 sejam untuk anggota. Kenaikan ini bakal memanfaatkan hampir 10,0000 PVR,” jelasnya.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

