KEMENTERIAN Komunikasi dan Multimedia (KKMM) akan memberi tumpuan kepada program-program pendigitalan nasional, pemulihan industri kreatif dan kemampanan komunikasi kerajaan menerusi Bajet 2022.
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa berkata, peruntukan keseluruhan sebanyak RM2.625 bilion yang disalurkan kepada kementeriannya diyakini dapat membantu Keluarga Malaysia keluar daripada kesukaran sepanjang pandemik.
Menurut Annuar, sudah tiba masanya kerajaan meletakkan asas bagi transformasi ke arah ekonomi digital yang maju.
Beliau berkata, kerajaan bertanggungjawab menyediakan infrastruktur, menggalakkan inovasi dan mewujudkan ekosistem menyumbang ke arah taraf hidup lebih tinggi dengan hasilnya dinikmati setiap Keluarga Malaysia.
Selaras dengan hasrat berkenaan, Annuar memaklumkan, kerajaan telah memperuntukkan RM1.1 bilion bagi program latihan peningkatan kemahiran digital yang dijangka memberi faedah kepada RM220,000 pelatih.
“KKMM berbesar hati sebahagian peruntukan diberikan bagi pelaksanaan Program Global Online Workforce (GLOW) yang akan diteruskan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC).
“Bagi tahun 2022, kerajaan juga menyediakan RM700 juta untuk meneruskan usaha ketersambungan digital di 47 kawasan perindustrian dan 630 sekolah terutama di luar bandar.
“Perkhidmatan 5G juga akan diperluas kepada 36 peratus daripada kepadatan tinggi termasuk di bandar-bandar utama di Johor, Selangor, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Baca artikel berkaitan: Industri kreatif, Internet dan ekonomi digital diberi perhatian dalam Bajet 2022 – Annuar
Mengulas lanjut, Annuar turut berhadap pemain industri kreatif dan pemegang taruh sektor berkenaan akan lebih aktif dan agresif menjana semula pendapatan menerusi peruntukan sebanyak RM288 juta.
Katanya, agensi seperti Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Agensi Pembangunan Ekonomi Seni Budaya (Cendana) dan MyCreative Ventures melalui peruntukan berjumlah RM188 juta akan meneruskan pelbagai inisiatif.
Sebagai tambahan, beliau berkata, kerajaan juga akan menjayakan program RIUH Keluarga Malaysia melalui Dana Padanan Pinjaman Pelaburan berjumlah RM20 juta yang dijangka memberi 5,000 peluang pekerjaan baharu.
“Saya juga pasti peruntukan sebanyak RM30 juta melalui Skim Padanan Pinjaman Pelaburan bagi inisiatif Platform Animasi Negara untuk menggalakkan lebih ramai penyertaan syarikat produk animasi dan mengetengahkan lebih banyak animasi tempatan ke persada antarabangsa disambut baik penggiat industri kreatif.
“Geran padanan untuk organisasi yang melaksanakan inisiatif seni dan budaya dengan peruntukan RM50 juta turut memacu pemulihan serta menjana ekonomi industri kreatif negara,” jelas beliau.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

