hadi awang
Tan Sri Abdul Hadi Awang.

PRESIDEN Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, dan Timbalannya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, mempertahankan jawatan masing-masing selepas menang tanpa bertanding dalam pemilihan parti bagi sesi 2021-2023 pada Muktamar Tahunan Ke-67.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, berkata empat calon pula akan bersaing untuk mengisi tiga jawatan Naib Presiden.

“Tiga daripada mereka adalah penyandang sebelum ini, iaitu Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Idris Ahmad; Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah; dan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

“Seorang calon baharu adalah Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat sebelum ini, Dr Mohd Zuhdi Marzuki.

“Calon kelima, iaitu Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang juga Menteri Besar Kedah, menarik diri daripada bertanding jawatan itu.

“Selain itu, seramai 36 calon akan merebut 18 jawatan Ahli Jawatankuasa Pusat,” katanya pada sidang media Muktamar Tahunan Pas Ke-67 di Kuala Terengganu, hari ini, memetik laporan BH Online.

BERITA BERKAITAN Muktamar Pas diadakan November ini – Takiyuddin

Yang turut hadir ialah Pengarah muktamar kali ini, Dr Alias Razak yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Terengganu.

Seterusnya, Takiyuddin memaklumkan, Hussin Ismail dan Kamal Ashaari juga menang tanpa bertanding bagi mempertahankan jawatan masing-masing sebagai Pengerusi Tetap dan Timbalan Pengerusi Tetap.

Dalam pada itu, beliau berkata, muktamar kali ini tidak menjemput rakan parti politik lain sama ada yang ada hubungan dengan Pas atau sebaliknya dan badan bukan kerajaan (NGO).

“Kita hanya menjemput jemputan tertentu seperti veteran Pas dan orang tertentu, dengan ucapan dasar akan disampaikan Presiden PAS pada majlis perasmian,” katanya.

Takiyuddin berkata, seramai 1,546 perwakilan akan mengambil bahagian pada muktamar kali ini, dengan 694 menyertainya di Kuala Terengganu, manakala baki secara hibrid di negeri masing-masing.

Beliau berkata, mereka yang menghadiri muktamar kali ini meliputi 197 Yang Dipertua (YDP) kawasan di seluruh negara serta perwakilan Terengganu, Kelantan dan Pahang.

Muktamar Tahunan Pas Ke-67 dijadualkan berlangsung, di Kuala Terengganu pada Sabtu dan Ahad ini. – Agensi

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram