AKTIVITI keusahawanan luar bandar merupakan salah satu aktiviti utama yang dapat membantu membangunkan kawasan pedalaman dengan meningkatkan kualiti kehidupan penduduknya.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, selain itu, penekanan terhadap kepentingan meningkatkan penggunaan internet dan teknologi digital juga mampu memastikan kelestarian dan ketahanan usahawan dalam era pemulihan pasca COVID-19.

Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) melalui Institut Kemajuan Desa telah menganjurkan Forum Pemerkasaan Perusahaan Luar Bandar Mikro, Kecil dan Sederhana Peringkat ASEAN hari ini .

Forum tersebut dihadiri oleh kira-kira 100 orang yang terdiri daripada pegawai kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan usahawan luar bandar daripada negara-negara ASEAN dan ASEAN Campur Tiga seperti Singapura, Thailand, Cambodia, Filipina, Jepun, China dan Malaysia.

Forum yang dianjurkan secara maya itu turut dihadiri oleh Timbalan Setiausaha Agung ASEAN (Komuniti Sosio Budaya), Ekkaphab Phanthavong dan Sekretariat ASEAN.

Antara topik yang dibincangkan adalah cabaran usahawan luar bandar pasca COVID-19, pembudayaan aktiviti keusahawaan luar bandar bagi peningkatan ekonomi luar bandar, adaptasi ekonomi digital dalam keusahawanan luar bandar ke arah pembangunan inklusif dan pemulihan dan peningkatan daya tahan usahawan luar bandar pasca COVID-19.

“Selain itu, beberapa usahawan luar bandar turut berkongsi pengalaman mendepani cabaran COVID-19 dan langkah pemulihan yang diambil untuk meneruskan perniagaan,” kata Mahdzir.

BERITA BERKAITAN Bajet yang menyeluruh, tiada yang tertinggal termasuk golongan luar bandar – Mahdzir

Katanya, hasil daripada forum ini boleh digunakan oleh negara-negara ASEAN untuk merangka pelan pembangunan usahawan luar bandar di negara masingmasing terutamanya yang berkaitan dengan teknologi digital.

Forum ini merupakan salah satu daripada komitmen Malaysia dalam Kerangka Pelan Tindakan ASEAN dalam Pembangunan Luar Bandar dan Pembasmian Kemiskinan 2021 hingga 2025.

Forum bertujuan untuk berkongsi amalan terbaik dan bertukar pandangan di kalangan negara ASEAN dan ASEAN Campur Tiga mengenai isu dan cabaran yang dihadapi oleh perusahaan mikro, kecil dan sederhana luar bandar semasa pendemik.

“Ia juga membincangkan hala tuju dan tindakan yang boleh diambil untuk meningkatkan daya tahan dan daya saing perusahaan luar bandar pasca COVID-19,” kata Mahdzir. – UtusanTV

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram