Langkah itu adalah sebahagian daripada perubahan yang diperkenalkan untuk meningkatkan keseimbangan kerja dan kehidupan sebagai tindak balas kepada pelaksanaan bekerja dari rumah di negara itu.


PORTUGAL melarang bos daripada menghantar mesej teks dan e-mel kepada pekerjanya di luar waktu bekerja sebagai sebahagian daripada undang-undang baharu yang digelar “hak untuk berehat”.


Langkah itu adalah sebahagian daripada perubahan yang diperkenalkan untuk meningkatkan keseimbangan kerja dan kehidupan sebagai tindak balas kepada pelaksanaan bekerja dari rumah di negara itu.


Syarikat yang mempunyai lebih daripada 10 kakitangan boleh dikenakan denda jika mereka menghubungi pekerja di luar waktu kontrak mereka.


Terdapat juga peraturan baharu untuk membenarkan pekerja yang mempunyai anak bekerja dari rumah.

Ibu bapa akan dibenarkan bekerja di rumah tanpa mendapatkan kelulusan terlebih dahulu daripada majikan mereka sehingga anak mereka berumur lapan tahun.

Syarikat juga mungkin perlu membayar bil isi rumah yang dijangka naik seperti elektrik dan kos internet.

Pelaksanaan bekerja dari rumah juga membolehkan mesyuarat secara diadakan lebih kerap.

Bagaimanapun, beberapa elemen pakej itu tidak diluluskan Parlimen Portugal, termasuk “hak untuk memutuskan sambungan” yang membenarkan kakitangan mematikan semua peranti kerja di luar waktu.

Menteri Buruh dan Keselamatan Sosial Portugal, Ana Mendes Godinho memberitahu,  “telekerja boleh menjadi pencetus perubahan namun perkembangannya perlu dikawal selia.

Beliau juga berharap perlindungan buruh yang dipertingkatkan akan menarik lebih ramai warga asing ke negara ini.

“Kami menganggap Portugal sebagai salah satu tempat terbaik untuk didiami di dunia buat nomad digital dan pekerja. Kami mahu menarik mereka ke Portugal,” kata Godinho.

Portugal sudah mempunyai skim visa pemastautin sementara yang diwujudkan untuk menarik usahawan dan pekerja bebas.

Pulau Madeira mempunyai “kampung nomad digital”, dengan wifi percuma dan kemudahan meja pejabat.

Beberapa negara lain termasuk Barbados dan Croatia telah memperkenalkan apa yang dipanggil “visa nomad digital”, berbeza dengan permit pelancongan biasa.