PENETAPAN harga dalam memperoleh tiga spektrum untuk pelaksanaan program rangkaian 5G di negara ini adalah melalui rundingan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dengan menggunakan kaedah ‘Tawaran Akses Rujukan’ (RAO).
Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa berkata, kaedah itu bagi memastikan harga rangkaian 5G tidak terlalu tinggi dikenakan kepada pengguna apabila ia dilaksanakan mulai Disember ini.
“Bukan DNB (Digital National Berhad) yang boleh meletakkan harga yang tinggi (kemudian) dicaj kepada MNO (Mobile Network Operator) atau MNO boleh ambil dengan harga yang boleh mereka tetapkan sendiri.
“Rundingan RAO ini sedang berjalan dan hanya setelah penentuan harga RAO ini ditetapkan barulah pelaksanaan 5G dapat dimeterai dengan kelulusan MCMC dan sehingga kini, MCMC belum memberi kelulusan kepada ketetapan harga (spektrum),” katanya semasa sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil (PH-Lembah Pantai) yang ingin tahu berapakah pendapatan kerajaan yang terlepas berbanding menggunakan option off spektrum diberi terus kepada syarikat telekomunikasi bagi peralihan rangkaian daripada 4G kepada 5G ini.
“Soal kos melepas (pendapatan) kepada kerajaan tak berbangkit, ini adalah kerana pembiayaan pelaksanaan program 5G tidak menggunakan dana kerajaan tetapi diatur oleh swasta.
“Ia juga tidak menggunakan konsep borong untuk menghalang daripada harga yang terlalu tinggi dibayar oleh pengguna tetapi digunakan cara rundingan penetapan harga (tawaran) akses rujukan,” kata Annuar.
Menjelas lanjut, beliau berkata sekiranya perolehan spektrum itu menerusi konsep lelongan, ia akan memberi kesan kepada pengguna kerana apabila lebih tinggi harga lelongan diambil maka lebih mahal caj rangkaian 5G dikenakan kepada pengguna.
“Sedangkan matlamat kerajaan nak pastikan sebolehnya walaupun 5G diperkenalkan, harga (rangkaian 5G) lebih murah daripada harga 4G. Itu sasarannya,” katanya.
Selain itu, beliau berkata melalui pengenalan sistem Multi-Operator Core Network (MOCN) dalam pelaksanaan program 5G ini, Malaysia mencatatkan sebagai negara pertama di dunia dengan sistem ini dapat dikongsikan lima atau enam MNO melalui satu aparatus.
“Kebanyakan negara lain, MOCN digunakan adalah dua dan maksimum tiga operator tetapi apa didemonstrasikan kepada saya membuktikan lima atau enam operator pada satu-satu aparatus (di Malaysia).
“Ini pertama diperkenalkan DNB sebagai contoh bagaimana kos dapat direndahkan apabila Multi-Operator Core Network Integration dapat dilaksanakan apabila 5G dilancarkan,” katanya.
Baca: Modul dalam pelaksanaan rangkaian 5G akan diperinci Menteri Kewangan esok – Annuar
Perkhidmatan 5G kepada rakyat tidak akan membebankan
Sementara itu, menjawab soalan asal Datuk Dr Xavier Jeyakumar (Bebas-Kuala Langat) mengenai strategi yang diambil untuk menangani peralihan perubahan teknologi 5G serta jangka masa peralihan ini, Annuar berkata, kerja-kerja pembangunan rangkaian 5G telah pun dimulakan pada September 2021.
Katanya, ketersediaan rangkaian 5G ini akan dicapai secara berperingkat bermula penghujung 2021 di Putrajaya, Cyberjaya dan Kuala Lumpur, dan akan diperluaskan ke kawasan lain di seluruh negara bermula tahun 2022.
“Digital Nasional Berhad (DNB) telah mensasarkan sehingga 80 peratus kawasan berpenduduk akan mendapat liputan 5G dalam tempoh tiga tahun iaitu pada tahun 2024. Pelaksanaan yang pantas ini akan mengurangkan risiko peluasan jurang digital dalam masyarakat,” katanya
Menurut Annyar, kerajaan telah mengambil pendekatan untuk mempercepatkan pelaksanaan 5G ke suku keempat 2021 berbanding perancangan asal pada tahun 2023.
Katanya, kerajaan juga telah mengenal pasti keperluan spektrum yang berkaitan bagi membolehkan rangkaian ini dapat dibina dengan segera.
Sehubungan itu, ujar beliau, kerajaan telah mengambil keputusan supaya satu syarikat tujuan khas (SPV) di bawah Menteri Kewangan Diperbadankan iaitu DNB, dilantik sebagai penyedia rangkaian borong tunggal infrastruktur dan rangkaian 5G di seluruh negara.
“Pihak pemberi perkhidmatan yang lain akan bersaing memberikan perkhidmatan runcit kepada pengguna dengan mendapatkan akses daripada DNB.
“Pendekatan penyedia tunggal ini diambil untuk mengurangkan kos keseluruhan pelaksanaan infrastuktur 5G berbanding jika dibangunkan oleh beberapa buah syarikat pemberi perkhidmatan yang berasingan.
“Ini seterusnya akan membolehkan harga perkhidmatan yang rendah ditawarkan kepada pengguna,” jelasnya.
Kata Annuar, pendekatan penyedia tunggal juga akan mengoptimumkan penggunaan spektrum frekuensi yang merupakan sumber negara yang terhad.
“Menerusi kaedah ini, penguntukan jalur spektrum 5G yang lebar kepada DNB akan menjamin kualiti perkhidmatan yang lebih tinggi serta kadar muat turun data yang jauh lebih pantas.
“Sebelum ini, spektrum frekuensi untuk perkhidmatan 3G dan 4G diagih kepada beberapa syarikat pemberi perkhidmatan. Kesannya, pengguna masih berdepan dengan isu kualiti perkhidmatan dan kadar muat turun yang kerap tidak memuaskan,” ujarnya.
— BERNAMA
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

