PENGGUNAAN sambungan internet berkelajuan tinggi menerusi rangkaian 5G pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 penting dalam menjaga imej Malaysia selaku tuan rumah.
Pakar Keselamatan Maklumat, Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Nur Izura Udzir berkata, kemudahan hasil inisiatif Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) itu juga adalah yang terkini dan digunakan oleh majoriti negara maju.
Jelasnya, pada persidangan sebesar dan sepenting ini sudah menjadi tanggungjawab untuk tuan rumah menyediakan akses bagi memudahkan usaha mendapatkan maklumat, selain mengelakkan daripada berlaku gangguan dalam telesidang.
“5G ini sudah pastinya ia ada kelebihan daripada segi kelajuan, keselamatan, saya jangka ia lebih selamat berbanding kemudahan sedia ada.
“Untuk persidangan ASEAN kalau semua pakai 5G memang sangat bagus, maknanya kita sebagai tuan rumah mampu menyediakan satu perkhidmatan yang terkini, lebih memudahkan untuk persidangan ini.
“Persidangan ini mungkin akan melibatkan telesidang atau apa-apa perkara berkaitan yang memerlukan capaian pantas terhadap data, maklumat,” katanya ketika dihubungi UtusanTV, hari ini.
Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 yang berlangsung hari ini hingga esok dilengkapi dengan sambungan internet berkelajuan tinggi menerusi rangkaian 5G, hasil inisiatif MCMC.
Jurucakap Kerajaan, Datuk Fahmi Fadzil berkata, persiapan infrastruktur kesalinghubungan tersebut mencecah kelajuan sehingga 1Gbps pada satu-satu masa.
“Pihak MCMC telah menyediakan unit sambungan internet 5G bersaiz besar yang akan dimanfaatkan untuk semua mesyuarat Asean di pelbagai peringkat, termasuk sidang kemuncak yang bakal berlangsung pada 26 hingga 27 Mei ini.
“Tahap kelajuan internet amat baik, antara 300 hingga 600 mbps dan mencecah sehingga 1Gbps di pusat media antarabangsa,” katanya.
Setakat Disember 2024, liputan 5G di kawasan berpenduduk Malaysia telah mencapai 82.4 peratus menjadikan negara ini antara yang terpantas dalam pelaksanaan 5G secara global.
Usaha MCMC secara keseluruhan menjadikan Malaysia berada di landasan yang kukuh untuk mencapai liputan 5G hampir menyeluruh menjelang 2026, dengan peningkatan ketara dalam penggunaan dan liputan yang meluas.
Prof Nur Izura berkata, apa yang penting adalah penggunaan 5G dapat menjamin keselamatan kepada data-data yang digunakan sekali gus mengelakkan daripada berlakunya gangguan atau godaman daripada pihak tidak bertanggungjawab.
“Apa yang penting adalah keselamatan itu terjaga, kita tahu bahawa perbincangan melibatkan isu yang sangat penting yang mungkin ada melibatkan maklumat sulit, begitu juga integriti kepada sesuatu maklumat.
“Satu lagi availability, sebab inilah 5G itu penting. Bila kita nak sesuatu data, boleh capai dengan segera, itu adalah aspek penting kalau kita cakap tentang persidangan besar sebegini,” katanya lagi.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan wartawan di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 18 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak/penyiaran/portal lain sejak tahun 2008.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama (perkembangan semasa/politik/sukan).

